Pusat sukan terbiar - BANGUNAN yang menempatkan gelanggang sukan boling di 
Pusat Sukan Paroi, Seremban yang terletak berhampiran dengan Stadium Tuanku 
Abdul Rahman Paroi kini sudah lama ditutup dan terbiar begitu sahaja. 
Kemungkinan ia sudah menjadi tempat penagih dadah lepaskan gian mereka serta 
untuk muda-mudi melakukan maksiat di situ.
 
Pusat yang suatu ketika dahulu diuruskan oleh pihak Majlis Perbandaran Seremban 
(MPS) kini sudah tidak terurus lagi, berkemungkinan kurangnya sambutan atau 
pengurusan kurang cekap dan memuaskan kepada peminat sukan tersebut.
 
Dicadangkan sama ada bangunan yang menempatkan sukan boling ini diswastakan 
kepada syarikat yang berpotensi dapat memajukan sukan tersebut ataupun 
ditukarkan dan diubahsuaikan menjadi gelanggang sukan yang lain seperti 
gelanggang badminton, futsal atau trek lumba basikal yang moden dan lengkap.
 
Sudah sampai masanya Pusat Sukan Paroi ini diberi nafas baru di mana semua 
latihan sukan untuk atlet Negeri Sembilan yang berbakat dilakukan di situ, 
lengkap dengan asrama serta kelengkapan moden.
 
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Paroi, Seremban
Utusan Malaysia, 4 Jan 2012 
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_05.htm
 

Kirim email ke