SEREMBAN, 4 Jan 2011 : Jika Program Penggerak Muda anjuran Jabatan Belia dan 
Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) dijadikan rujukan, maka bolehlah dirumuskan 
bahawa jabatan tersebut di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah 
menjadi salah sebuah komponen Barisan Nasional (BN) atau mungkin lebih tepat 
ahli bersekutu Umno.
 
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek membuat 
pendedahan ini kepada FMT selepas beberapa anak muda Melayu sekitar Seremban 
yang menghadiri program tersebut membuat aduan kepada beliau kerana tidak puas 
hati dengan pengisian program tersebut.
 
Program tersebut berlangsung di A’Famosa Resort, Melaka pada 27 dan 28 Disember 
2011 dan seterusnya di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada 29 Disember 2011.
 
“Beberapa hari yang lepas saya didatangi beberapa pemuda dan mengadu kepada 
saya bahawa program tersebut sebenarnya adalah sebuah program mendoktrin 
generasi muda dan diadakan bertujuan untuk meracuni pemikiran anak muda untuk 
membenci PAS, PKR dan DAP.
 
“Saya juga diberitahu oleh pemuda-pemuda ini bahawa dalam salah sebuah sesi 
penerangan yang bertajuk ‘Senario Politik Semasa
 
Setempat’, penceramah tersebut dalam usaha untuk cuba menegakkan benang yang 
basah, menghina Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat”, ulas 
Mohamad Rafie yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban.
 
Penceramah terbabit dikatakan berkata: “Nik Aziz cakap orang bukan Islam boleh 
guna perkataan ALLAH tapi jangan salah guna. Senang sahaja lepas ni jumpa Nik 
Aziz bagi tahu dia, “Tok Guru saya nak pinjam anak dara Tok Guru semalam 
sahaja, Insya Allah saya tak salah guna”.
 
“Ini satu penghinaan yang melampau yang merentasi adat susila Melayu dan hukum 
Islam. Malah saya yakin mana-mana bangsa dan agama di dalam dunia tidak 
membenarkan penganutnya melafazkan kata-kata lucah seperti ini,” jelas Mohamad 
Rafie.
 
Saya dimaklumkan program selama tiga hari itu langsung tidak ada kena mengena 
dengan tajuk atau nama program itu. Sebaliknya ianya program berunsur 
mendoktrin peserta.
 
“Persoalannya sejak bila JBSNS di bawah KBS menjadi tukang kempen dan mencuci 
otak dan minda anak muda untuk menyokong kerajaan BN? Saya mempunyai beberapa 
bukti bahawa program ini telah disalah guna untuk kepentingan parti pemerintah.
 
“Anda boleh baca sendiri kandungan di dalam buku program yang jelas menunjukkan 
KBS ini bekerja seolah-olah untuk Umno-BN.
 
“Saya minta Menteri KBS, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menjelaskan isu yang 
saya anggap amat besar kerana ia membabitkan wang rakyat yang digunakan untuk 
agenda politik Umno-BN.
 
“Saya juga dimaklumkan pada hari pertama dan pada sesi pertama program 
dimulakan, penceramah tersebut bertanya adakah mana- mana peserta yang 
berbangsa Cina dan India. Didapati peserta dalam lingkungan seratus orang itu 
seratus peratus adalah Melayu.
 
Apatah lagi difahamkan antara pengisian program ini juga ada unsur seperti 
memecah belahkan orang Melayu dengan Cina dan India.
 
“Kenapa program ini diadakan untuk anak muda Melayu sahaja. Kenapa tidak dibuka 
kepada anak muda Cina dan India? Apa agenda sebenar KBS dalam penganjuran 
program ini?,” tanya Mohamad Rafie.
 
Mohamad Rafie mendesak Ahmad Shabery menjelaskan berapakah kos penganjuran 
setiap siri program ini yang mana program yang dihadiri oleh pemuda-pemuda ini 
adalah siri yang kedua.
 
“Saya percaya program sedemikian mungkin juga diadakan di negeri-negeri lain. 
Berapa banyak lagi siri program ini akan diadakan untuk pemuda-pemudi Negeri 
Sembilan?
 
“Tidak mungkin Ahmad Shabery tidak tahu pengisian program ini adalah untuk 
mendoktrin anak muda agar menyokong kerajaan Umno- BN. Ahmad Shabery harus 
bertanggungjawab untuk menjawab semua persoalan ini.
 
“Seharusnya dana kementerian digunakan untuk pengisian program membina jati 
diri generasi muda menjadi produktif, berdisiplin, menggerakkan ekonomi dan 
membentuk keperibadian sahsiah yang baik”, kata Mohamad Rafie.
 
Cerita politik, fitnah memfitnah
 
Sementara itu dalam pertemuan dengan FMT, Mohamad Rafie memperkenalkan salah 
seorang pemuda yang menyertai program tersebut.
 
Enggan nama beliau dicatat dan imej beliau dirakam, pemuda tersebut berkata 
beliau menyertai program itu dengan harapan mungkin akan ditawarkan program 
atau peluang berniaga atas program khidmat nasihat untuk memulakan perniagaan 
kecil-kecilan atau sekurang -kurangnya program motivasi untuk mempertingkat 
kerjaya atau menambah sumber pendapatan.
 
“Malangnya apa yang disajikan ialah cerita politik dan fitnah menfitnah dengan 
memburukkan pemimpin Pakatan Rakyat.
 
“Penceramah juga meminta kami harus pastikan Umno-BN kekal berkuasa pada 
Pilihan Raya Umum akan datang,” kata pemuda itu lagi.
 
Mohamad Rafie juga menunjukkan buku program kepada FMT dan meminta FMT 
menyiarkan tiga perenggan dalam buku program itu yang menurut Mohamad Rafie 
terang-terang membuktikan KBS sudah menjadi alat Umno-BN.
 
Menurut beliau, kandungan ulasan dalam buku program itu, di antara lain 
menyebut:
 
Berasaskan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12), satu analisa 
terhadap sokongan generasi muda terhadap kerajaan telah menunjukkan tanda aras 
penurunan yang ketara iaitu sebanyak 36% berbanding dengan PRU 11 pada 2004. 
Sehubungan dengan itu, KBS telah mengambil tindakan proaktif, iaitu dengan 
merangka strategi-strategi mendekati generasi muda secara terus di peringkat 
akar umbi dalam usaha mengenalpasti kehendak dan keperluan serta trend dan pola 
sokongan pengundi muda dalam usaha mencapai matlamat kelangsungan kerajaan. 
 
Penglibatan ini dijayakan melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) 
seperti di Manik Urai (Kelantan), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor 
(Selangor), Sibu (Sarawak), Batu Sapi (Sabah) dan Galas (Kelantan).
 
Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/2012/01/04/kbs-cuci-minda-anak-muda/ 

Kirim email ke