SAYA tertarik dengan tulisan Cikgu Keliru dari Dengkil, Selangor dalam ruangan 
ini baru-baru ini yang menyatakan bahawa para pendidik dan murid-murid akan 
dikenakan bayaran bagi menambah kelengkapan sekolah yang tidak cukup.
 
Jika tidak silap saya dalam Belanjawan 2012 lalu peruntukan khusus untuk 
penambahbaikan kelengkapan sekolah, membaik pulih bangunan sekolah, 
penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan diwujudkan di 
bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah yang 
berjumlah RM1 bilion. 
 
Jadi di mana logiknya pihak sekolah mengenakan bayaran bagi murid dan guru 
untuk menambah peralatan sekolah?
 
Menurut Perdana Menteri, dalam gagasan 1Malaysia dan pelbagai kempen 
Kementerian Pelajaran sendiri telah menyatakan tidak akan ada kekangan kewangan 
untuk mendapat pendidikan dari kerajaan. Malah usaha memansuhkan pelbagai yuran 
sekolah dilihat sesuatu yang amat dialu-alukan. 
 
Tetapi pihak sekolah tiba-tiba mengenakan bayaran lain yang dilihat tidak 
selari dengan niat sebenar kerajaan. Malah bayaran bagi kelengkapan bilik 
darjah sekolah seperti kerusi dan meja pada saya amatlah mengarut. Sebagai 
seorang bapa yang mempunyai anak bersekolah saya ingin mendapatkan penjelasan 
daripada Kementerian Pelajaran mengenai perkara ini. 
 
Jangan pula ia akan jadi polemik bagi pihak yang mencari isu untuk dibangkitkan 
untuk menentang kerajaan. 
 
Kempen pendidikan percuma yang sedang kerajaan jalankan kini amat membantu, 
terutama bagi golongan-golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti saya.
 
KAS ISMAIL 
Bentong, Pahang
10 Jan 2012 
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm
 

Kirim email ke