Program Pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan disabotaj
Faiz Abdullah (wartawan Harakah)
 
GEMAS - Program 'Pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan' yang 
dijadualkan berlangsung pada Ahad, 15 Januari, 08.00 malam ini di Dataran 
Rakyat, Gemas, Negeri Sembilan dikatakan disabotaj oleh pihak tertentu, kata 
Yang DiPertua PAS Tampin, Zakaria Khalim.
 
Menurut Zakaria tiga Ahli PAS Tampin termasuk Ketua Penerangan Zainil Subuh 
melakukan kerja-kerja menampal poster ceramah pada malam Isnin 9 Januari, di 
sepanjang jalan dari pekan Gemencheh sehingga ke pekan Gemas.
 
"Walaubagaimanapun dalam perjalanan pulang ke Gemencheh semula mereka mendapati 
beberapa orang sedang mengoyakkan poster tersebut.Seterusnya Zainal dan dua 
lagi ahli kita menghalang tindakan mereka dan tercetus pergaduhan kecil.
 
"Kedua-dua pihak membuat laporan polis dan pihak polis menahan Zainal dan dua 
ahli PAS atas alasan mengganggu kerja-kerja menanggal poster.
 
"Seterusnya didapati mereka adalah Penguatkuasa Majlis Daerah Tampin. Saya 
difahamkan mereka tidak perkenalkan diri masing-masing kepada ahli PAS dan ini 
punca Zainal dan sahabat beliau mengganggap mereka adalah orang-orang Umno 
untuk sabotaj program kita", kata Zakaria.
 
Zakaria berkata ketiga-tiga ahli PAS telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret 
Tampin pada 10 Januari dan akan ditahan reman selama tiga hari.
 
"Justeru itu sebagai tanda sokongan kepada pengorbanan tiga ahli PAS ini yang 
meringkuk dalam lokap polis dan sebagai bukti rakyat sudah bangkit untuk 
membuat perubahan, saya menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan hadir 
ramai-ramai ke Program Ceramah Rapat Rakyat ini.
 
"Rakyat Johor di sempadan Gemas, Negeri Sembilan dan rakyat Melaka di sempadan 
Gemencheh, Negeri Sembilan juga dialu-alukan hadir untuk mengetahui 
perkembangan terbaru isu politik nasional.
 
"Kehadiran Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Gemas ini merupakan 
antara penampilan paling awal beliau di khalayak umum dan kali pertama selepas 
beliau dibebaskan oleh Mahkamah pada 09 Januari.  
 
"Dua lagi pemimpin Nasional Gergasi yang akan hadir ialah Timbalan Presiden 
PAS, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng", kata Zakaria.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani pula berkata tindakan 
pihak Majlis Daerah Tampin mengoyakkan poster program itu adalah satu tindakan 
terdesak dan untuk menggagalkan program tersebut.
 
"Mereka sudah menjadi alat Umno dan panas punggung apabila kemaraan Pakatan 
Rakyat di salah satu kubu kuat Umno meresahkan mereka.
 
"Saya yakin pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti kita mampu menawan Negeri 
Sembilan dan usaha itu akan lahir di Gemas pada 15 Januari ini.
 
"Walaupun mereka cuba sabotaj usaha kami tetapi ini tidak akan patahkan 
semangat kami. Lawan tetap lawan!", tegas Mohd Taufek yang juga ADUN Paroi.

Kirim email ke