Hak kebebasan mengamalkan agama di tempat kerja di Malaysia ini seharusnya 
dikaji semula untuk mengelakkan ketidaksefahaman diantara para pekerja dan para 
majikan. Justeru itu Akta Pekerjaan 1955 atau Akta 265 yang digubal pada tahun 
1955 dan telah dipinda hampir keseluruhannya pada tahun 1998 haruslah disemak 
semula selaras dengan perkembangan dunia semasa. Media juga harus memainkan 
peranan untuk memberi kefahaman kepada semua pihak dalam isu ini. 
 
Juruwang disuruh pegang daging babi tanpa lapik
Utusan Malaysia , 18 Jan 2012 
 
SAYA adalah salah seorang juruwang (cashier) yang bekerja di sebuah pasar raya 
di Kamunting, Taiping. Pada tarikh 11.01.2012, lebih kurang pukul 3 petang, 
pihak pengurusan telah membuat mesyuarat di antara semua juruwang. Di dalam 
mesyuarat tersebut, pengurus kami menyatakan ada seorang pelanggan bukan Islam 
telah membuat aduan kepada pihak atasan mempertikaikan mengapa juruwang Melayu 
Islam memegang daging babi beralaskan plastik seolah-olah menghina makanannya.
 
Apa yang membuat kami semua terkejut, pengurus kami telah berkata, "Kenapa 
perlu berlapik? Jijik sangatkah? Geli sangatkah? Jangan terlalu ikutkan adat 
sangat. Yang bermasalah ini adalah juruwang Melayu. Kalau sudah tak boleh nak 
pegang, lebih baik saya mengambil pekerja bukan Melayu. Selepas ini, saya tak 
mahu lagi kamu semua pegang barang-barang itu beralaskan pelastik. Saya mahu 
kamu semua pegang dengan tangan sahaja. Jika saya dapati kamu semua buat sekali 
lagi, saya akan tukarkan kamu semua ke bahagian lain." 
 
Bukan niat kami hendak menghina makanan orang bukan Islam. Menurut ajaran dan 
hukum Islam, daging itu adalah haram disisi agama Islam bukan setakat 
memakanya, malah menyentuhnya pun tak boleh. Jika tersentuh biarpun bekasnya 
sekali pun, ia perlu disamak.
 
Pengurus kami dan orang atasan kami bukan Islam. Tidakkah mereka tahu orang 
Islam amat sensitif dengan daging babi. Bahasanya seolah-olah mempersendakan 
agama Islam dan berbau perkauman. Mentang-mentanglah kami ini semuanya 
perempuan, tidak pandai hendak memberontak, senang benar mereka hendak 
mempersendakannya.
 
Saya cuba untuk berpakat dengan rakan-rakan kerja Melayu saya untuk melaporkan 
perkara ini di pejabat agama atau pihak berkuasa yang lain, tetapi mereka 
enggan untuk berpakat kerana takut ditukarkan atau kehilangan kerja. Inilah 
sifat kakitangan Melayu yang beragama Islam di sini. Hanya dengan ugutan mereka 
sangup menggadaikan agama demi wang.
 
Kita sebagai orang Islam sepatutnya mempertahankan kesucian agama kita. Tahukah 
mereka perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana membabitkan kesucian diri 
untuk beribadat kepada Allah SWT. Saya kecewa dengan sikap segelintir bangsa 
Melayu yang beragama Islam ini.
 
Sepatutnya pihak pengurusan pasar raya tempat saya bekerja mengadakan kaunter 
'Tidak Halal' untuk scan barang-barang tidak halal dan dijaga oleh juruwang 
bukan Islam. Kadangkala saya terfikir, bekas diletakkan barang tidak halal di 
kaunter ini, kemudiannya diletakkan pula barang-barang yang dibeli pelanggan 
lain beragama Islam. Bagaimana tahap kesuciannya? 
 
Saya ingin mengadukan perkara ini kepada jabatan agama atau pihak berkuasa 
lain, tetapi saya tidak pandai untuk membuat sendirian. 
 
Tolonglah sesiapa yang membaca artikel ini, bantulah kami orang Islam yang 
ditindas di pasar raya ini, juga pelanggan Islam yang mengunjungi pasar raya 
ini.
 
JURUWANG TERANIAYA
Taiping, Perak
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm
 

Kirim email ke