Pemberian baucer buku sebanyak RM200 untuk setiap pelajar di IPT perlu 
penambahbaikan untuk mengelakkan sebarang ketirisan dan penyalahgunaan samada 
oleh para pelajar, para peniaga mahu pun mereka yang menguruskan pemberian 
baucer tersebut.
 
Pemberian baucar buku pelajar dimanipulasi IPT, kedai buku?
Utusan Malaysia 18 Jan 2012 
 
PEMBERIAN baucar buku daripada kerajaan untuk pelajar Institusi Pengajian 
Tinggi (IPT) berjumlah RM200 seorang adalah bagi menampung perbelanjaan dan 
mengurangkan bebanan sara hidup ibu bapa serta pelajar tersebut.
 
Hasrat murni kerajaan itu bagaimanapun kini dimanipulasikan oleh pelbagai 
pihak, baik pihak kedai buku mahupun pihak institusi pengajian tinggi itu 
sendiri.
 
Pihak institusi (tenaga pengajar) mahukan pelajar membeli buku bacaan atau 
rujukan pihak institusi itu sendiri dengan harga sebagai contoh RM80. Baucar 
yang diberi kerajaan adalah dalam bentuk RM50 sekeping.
 
Untuk membeli buku berharga RM80 ini, pelajar harus membayar dengan menggunakan 
dua keping baucer RM50 dengan jumlah RM100. Pihak institusi tidak akan membayar 
balik baki wang tersebut dan untuk membeli buku lain tentunya jumlah tersebut 
tidak memadai.
 
Di sini pelajar kerugian RM20. Pihak institusi atau pensyarah yang berkenaan 
mengaut keuntungan sebanyak RM20 daripada seorang pelajar. Berapakah jumlah 
keuntungan diperolehi pihak institusi dan pensyarah dengan jumlah pelajar yang 
ada?
 
Di satu pihak lagi, kedai kedai buku menawarkan kepada pelajar wang tunai 
sebanyak RM100 bagi pertukaran empat keping baucar RM50 tersebut. Perbuatan ini 
dan pelbagai lagi cara boleh diambil oleh pihak ketiga bagi mengaut keuntungan 
mudah di atas pemberian kerajaan. 
 
Pihak kementerian berkenaan dan badan-badan bertanggungjawab harus memandang 
serius perkara ini dan pihak kerajaan boleh mencari alternatif lain dalam 
pengagihan bantuan kepada pelajar IPT.
 
Rasanya tidak salah jika terus diberi secara tunai kepada semua pelajar IPT 
bagi tujuan membeli buku bacaan ata rujukan mereka. Jika mereka tidak 
menggunakan wang tersebut untuk membeli buku, setidak-tidaknya wang tersebut 
tidak diambil pihak lain.
 
Lintah darat ini tidak peduli akan halal haram sesuatu perbuatan. Apa yang 
lebih penting adalah mengaut keuntungan. Asal saja mereka berkesempatan, mereka 
melakukannya. Semoga mendapat perhatian pihak Kementerian Pengajian Tinggi.
 
MEZA
Sungai Buloh, Selangor
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

Kirim email ke