28 Jan 2012, JOHOR BAHRU: “Ketika
isteri yang tinggal di Sarawak keguguran pada 17 Januari lalu, saya
sedih kerana tidak mampu membantu sebaliknya hanya mendoakan
keselamatannya kerana tinggal berjauhan (di Johor),” kata pekerja
hotel, Mohd Fauzi Borhan, 37, yang amat bimbangkan keadaan isterinya
kerana sudah dua kali keguguran dalam tempoh tiga tahun, dipercayai
akibat tekanan hidup.

Menurutnya, lebih mengecewakan apabila
usaha isterinya, Lida, 32, yang bekerja sebagai guru Lepasan Ijazah
J-Qaf di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Sarawak, untuk bertukar
ke Johor, tidak mendapat maklum balas positif sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, hasratnya membuat rayuan
pertukaran isterinya itu menemui jalan buntu apabila tidak dibenarkan
berbuat demikian oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di
Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya.
Katanya, keluarganya dimaklumkan
pengurusan di Putrajaya bahawa permohonan dikemukakan isterinya
ditolak berikutan tidak menerima sokongan daripada Jabatan Pelajaran
Negeri Sarawak.

“Saya dan isteri tinggal berjauhan
sejak enam tahun lalu dan isteri sudah membuat permohonan pertukaran
tempat kerja sebanyak enam kali iaitu dua kali setahun (sejak tiga
tahun lalu).

“Dua tahun lalu, dia keguguran kali
pertama, tetapi kami bersyukur kerana dikurniakan anak lelaki
pertengahan Mei lalu,” katanya.

Fauzi berkata, kini dia terpaksa
berjauhan dengan isteri dan anak lelakinya berusia lapan bulan
berikutan permohonan kali keenam pada November lalu ditolak tanpa
alasan dan dia difahamkan keputusan itu muktamad.

“Apa yang kami minta ialah budi
bicara, isteri sudah enam tahun berkhidmat di Sarawak, wajarlah dia
berpindah balik ke sini. Saya risaukan keadaan isteri kerana doktor
menasihatkannya banyak berehat, namun disebabkan tinggal
berseorangan, dia perlu bekerja dan mengurus anak. “Saya harap
kementerian prihatin dengan masalah kami dan membenarkan
pertukarannya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Permohonanditolakenamkali/Article/index_html
 

Kirim email ke