SEREMBAN 27 Jan. 2012 - Walaupun telah
menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
dan Baitulmal, pasangan suami isteri, Sahreny Abdul Aziz, 46, dan
Norma Mat Lazin, 42 sekali lagi merayu supaya dipertimbangkan
permohonan bagi mendiami unit perumahan di bawah Projek Perumahan
Rakyat (PPR) untuk keselesaan mereka enam beranak.
Menurut Norma, dia berharap supaya
kerajaan negeri dapat mempertimbangkan permohonan yang telah dibuat
sejak sekian lama untuk mendiami salah satu unit perumahan di bawah
PPR.
"Saya telah memohon tetapi ditolak
kerana alasan, kami tidak layak.
"Tempat tinggal kami terlalu
kecil. Lama sudah kami mohon untuk duduk di rumah pangsa PPR, tetapi
tidak berhasil. Berilah kami peluang untuk membina kehidupan yang
selesa," katanya di pejabat Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Utusan Malaysia pernah menyiarkan
penderitaan keluarga ini 7 April 2008 dan banyak pihak yang membantu
termasuklah kerajaan negeri, selain ada pihak yang menjanjikan
pelbagai bantuan lain ketika itu.
Menurut Norma, keluarganya telah
menerima bantuan JKM RM300 untuk empat anaknya, RM250 (Baitulmal) dan
RM150 kerana status Sahreny sebagai orang kelainan upaya (OKU)
selepas terbabit dalam kemalangan beberapa tahun lalu. 

Pasangan itu mempunyai empat anak, Siti
Norhidayah, 14, berada di tingkatan dua Sekolah Menengah Seri
Ampangan; Siti Nuriman, 10, dan Siti Norshaniza, 8, kedua-duanya di
Sekolah Kebangsaan Ampangan dan yang bongsu, Mohd. Sahnor, 6.
Menurutnya, suaminya tidak mampu
bekerja dan menghidap penyakit bengkok tulang belakang (scoliosis). 

Dia tidak boleh berdiri lama dan
kadangkala sarafnya terganggu dan tangan terketar-ketar.
"Saya pula menghidap asma dan
masalah batu karang. Saya tidak mampu bekerja," katanya.
Sesiapa yang sudi membantu bolehlah
menghubungi Norma di 99, Kampung Sekolah, Ampangan atau menghubungi
017-3974701.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm
 

Kirim email ke