Syiling baru 50 sen, 20 sen dan 10 sen telah pun mula digunakan sekarang ini. 
Permasalahan paling utama ialah mesin jualan (vending machine), mesin letak 
kereta dan sebagainya yang masih menggunakan saiz syiling lama. Apakah kerajaan 
Malaysia atau Bank Negara Malaysia akan memberi subsidi, ganti rugi kepada para 
peniaga yang mempunyai mesin yang menggunakan duit syiling untuk ditukar agar 
dapat menerima saiz syiling baru? 
 
Bagaimana pula dengan pengguna, adakah para pengguna harus menyimpan 
syiling-syiling lama untuk kegunaan pada mesin yang lama, dan hanya menggunakan 
syiling-syiling baru untuk urusan jual beli di kaunter sahaja?
 
Siapakah yang untung, siapakah yang rugi dalam pengenalan syiling-syiling baru 
ini yang lain saiznya? 
 
JANGAN TERGESA-GESA TARIK BALIK DUIT SYILING
 
SELEPAS 20 tahun, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan siri ketiga 
duit syiling Malaysia yang akan berada dalam edaran pada 1 Januari 2012. Siri 
ketiga duit syiling tersebut adalah bagi denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 
50 sen.
 
Itulah berita yang tersiar di dalam Utusan Malaysia baru-baru ini yang pastinya 
mengundang pelbagai kesan baik dan buruk terhadap masyarakat negara ini.
 
Saya sebagai usahawan bumiputera yang berkecimpung di dalam perniagaan mesin 
layan diri yang menggunakan duit syiling dan banyak lagi peniaga di negara ini 
pastinya bimbang dengan berita ini.
 
Mana tidaknya mesin dan teknologi yang digunakan datangnya dari luar negara. Ia 
pastinya perlu ditukar dengan kos yang tinggi.
 
Sebelum ini, ketika penggunaan syiling RM1 emas ditarik balik dari pasaran, 
ketika itu saya terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membeli mesin 
baru bagi membolehkannya menerima syiling 50 sen, 20 sen dan 10 sen.
 
Memang diakui sekarang ini terdapat banyak syiling 50 sen palsu di pasaran yang 
dikenal pasti oleh pihak bank. Tetapi penukaran semua syiling oleh pihak BNM 
pastinya akan lebih membebankan.
 
Sepatutnya penguatkuasaan ditingkatkan dan penukaran bukan jalan mudah untuk 
menangani masalah ini.
 
Walaupun pihak vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh 
selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memudahkan penggunaan 
duit syiling baharu itu tetapi kos penukaran pastinya jauh lebih tinggi.
 
Sebuah alat pembaca duit syiling sekarang bernilai hampir RM1,000. Bayangkan 
jika terdapat lebih 100 mesin yang perlu diubah suai.
 
Tambahan pula teknologi datangnya dari luar negara dan pasti akan mengambil 
masa lebih lama untuk proses ubah suai.
 
Bayangkan juga jika syiling ini ditarik balik dan mesin masih belum siap diubah 
suai, apa akan jadi kepada usahawan ini.
 
Saya berharap jika kerajaan hendak menarik balik syiling daripada pasaran 
perlulah pihak kerajaan menimbang secara serius untuk memberikan insentif 
kepada kami yang terlibat.
 
Saya ingin mencadangkan jika perlu ditukar juga syiling ini, saiz dan berat 
syiling berkenaan dikekalkan cuma warna dan corak ditukar dan diletakkan cip 
bagi mengelakkan pemalsuan.
 
Adalah diharapkan pihak rakyat didahulukan dan tidak seperti sekarang kerana 
marahkan nyamuk kelambu di bakar.
 
Ingatlah, setiap tindakan yang bakal diambil akan melibatkan ramai pihak dan 
kos yang perlu ditanggung amat tinggi.
 
RAKYAT
Rawang, Selangor
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
 
 
BNM perkenal not, syiling baru
 
KUALA LUMPUR: Mata wang RM20 kembali diperkenalkan dalam Siri Mata Wang Baru 
oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas lebih 16 tahun dihentikan 
pengeluarannya pada 1995.
 
Wang berwarna oren itu memaparkan ilustrasi dua spesies penyu yang hanya boleh 
ditemui di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan 
Belimbing (Dermochelys coriacea) yang juga lambang hidupan laut tropika negara 
yang pelbagai serta berwarna-warni.
 
Siri Mata Wang Baru yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 
semalam, meliputi siri wang kertas dengan reka bentuk baru membabitkan nota 
RM10, RM20 dan RM100 serta wang polimer RM1 dan RM5. Nota RM50 menggunakan reka 
bentuk sedia ada.
 
Semua mata wang kertas dan polimer ‘berwajah’ baru itu akan mula diedarkan pada 
separuh kedua tahun depan manakala syiling baru meliputi lima sen, 10 sen, 20 
sen dan 50 sen yang dilancarkan Julai lalu akan mula diedarkan kepada orang 
ramai Januari depan.
 
Ciri unik yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi 
yang menjadi nadi negara merupakan inspirasi serta ilham utama dalam reka 
bentuk wang kertas siri terbaru berkenaan.
 
Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, siri keempat wang kertas itu memaparkan 
ekspresi tradisional seni dan kraftangan, keajaiban alam, flora dan fauna, 
ekonomi dan tradisi, manakala bahagian depan semua denominasi wang kertas pula 
mengekalkan potret Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku 
Muhammad, bunga raya dan corak songket kain tenunan tradisional.
 
Sempena pelancarannya, BNM mengeluarkan wang kertas peringatan bagi siri mata 
wang itu membabitkan pengeluaran 500,000 set koleksi dua wang kertas (RM1 dan 
RM5) yang dijual pada harga RM15, 500,000 koleksi wang kertas RM20 pada harga 
RM30 dan 50,000 set enam wang kertas (RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100) 
yang dijual pada harga RM300.
 
Semua wang kertas peringatan berkenaan menggunakan nombor siri sama dan sah 
digunakan untuk sebarang transaksi. Bagi individu yang berminat, mereka boleh 
mendapatkan koleksi terhad itu di ibu pejabat BNM dan cawangannya di Pulau 
Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu mulai hari ini.
 
http://www.hmetro.com.my/articles/BNMperkenalnot_syilingbaru/Article/ 

Kirim email ke