2 Feb 2012 - BARU-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir
Baharom telah melancarkan Kempen Kesedaran Halal berkaitan Akta Perihal
Dagangan 2011 (APD 2011) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Berita
mengenainya sekali lagi disiarkan oleh sisipan Mega Utusan Malaysia pada Jumaat
pada 13 Januari 2012.
Pada majlis tersebut Jamil Khir memperkenalkan logo halal yang baru keluaran
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Difahamkan logo tersebut akan dicetak
pada semua bungkusan makanan atau barang-barang lain oleh syarikat-syarikat
tempatan di mana barang-barang keluaran mereka mendapat kelulusan halal dari
Jakim.
Dukacita pada logo tersebut terdapat kesilapan pada ejaan jawi di mana nama
negara Malaysia telah dieja kepada Malayzia. Dan difahamkan nama Malayzia tidak
ada disebut oleh mana-mana negara di dunia ini. Di negara-negara Arab di Timur
Tengah pula akan disebut atau dikenali sebagai Malasie.
Jakim sewajarnya mencontohi Bank Negara Malaysia (BNM) di mana semua wang
kertas keluaran BNM didapati betul dalam ejaan tulisan jawi.
Ejaan betul pada semua wang kertas tersebut dieja 'min lam ya sin ya alif' dan
bukannya ejaan salah iaitu 'min alif lam ya zai ya alif' seperti terdapat di
logo halal tersebut.
Nama negara Malaysia ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia
mestilah dihormati sama ada dalam bentuk ejaan pada semua tulisan atau sebutan.
Dengan kesilapan itu seolah-olah Jakim tidak prihatin kepada tulisan jawi dalam
ejaan Melayu. Kesilapan itu juga boleh membawa kepada kekeliruan di kalangan
murid-murid sekolah.
Saya percaya Jakim telah mengeluarkan belanja yang agak besar untuk
memperkenalkan logo baru itu termasuklah mencetak sijil halal, banner, baju
pegawai penguatkuasa yang ada logo tersebut dan lain-lain lagi.
Atas kelemahan dan kesilapan itu, syarikat-syarikat juga akan mengalami
kerugian kos atau tenaga kerja jika pembetulan grafik di logo itu terpaksa
dibuat pada bungkusan-bungkusan keluaran mereka yang sudah siap dicetak dan
hanya menunggu untuk diedarkan di pasaran tempatan atau ke luar negara.
HAMID DAUD
Kuala Lumpur
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm