Disertakan Pandangan yang lebih adil dan rasional
-----------------------------------------

 http://malaysiaharmoni.com/v2/index.php/pandangan/1478-surat-terbuka-kepada-dato-dr-hasan-ali

Surat terbuka kepada Dato' Dr Hasan Ali  
Jumaat, 10 Februari 2012 09:01  A Ralim M Yassen  
Share103
(Catatan ini dipetik terus dari blog Dr Maszlee Malik, "Der Reisende"di alamat 
http://maszleemalik.blogspot.com tanpa mengubah walau sepatah pun perkataannya.)
Assalamualaykom w.b.t.
YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya hormati,
Saya kira tidak perlulah saya 
perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya 
kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai 
kenalan rapat Dato’ sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi 
Dato’ sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, 
sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau 
bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya 
menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’ mutakhir ini 
berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah 
Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam 
kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ 
yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong 
untuk menulis surat terbuka ini.
Sebagai ahli akademik yang mengkaji 
bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa 
terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai 
beberapa kenyataan Dato’ dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di 
dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya 
sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada 
kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai 
ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela 
PAS dari serangan Dato’. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya 
tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik 
yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’ mahupun kepada parti 
PAS yang telah memecat Dato’.
Saya kira Dato’ mungkin telah maklum 
dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti 
Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan 
pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas 
kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan 
tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar 
politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana 
Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power 
sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja 
kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.
Apa yang dimaksudkan dengan wacana 
moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk 
menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh 
sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah 
memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan 
apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan 
majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi 
menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak 
bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak 
menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah 
dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan 
kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga 
tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai 
pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat 
ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara 
ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat 
telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan 
prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism 
(pasca-Islamisme).
Saya konsisten untuk tidak menyokong 
istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. 
Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah 
prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi 
mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan 
gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang 
lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu 
berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah 
menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga 
bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari 
aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang 
perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan 
Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato 
pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran 
yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia 
dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan 
mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).
Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam 
moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa 
perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua 
warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya 
masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat 
yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari 
korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari 
segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana 
baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga 
tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato’ merasakan pendekatan 
baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya 
kira Dato’ tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit 
sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme 
tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang 
telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan 
Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir 
dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di 
dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam 
sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam 
yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin 
mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi 
perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula 
merupakan bapa parasit?
Yakinlah Dato’, sepertimana 
gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di 
dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, 
PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO 
dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan 
majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu 
PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak 
lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat 
Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan 
fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana 
Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan 
terhalang. Malang sekali apabila Dato’ pula yang mula bercakap senada 
dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih 
malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS 
kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah 
dilelong oleh pihak UMNO dan BN.
Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat 
segelintir yang termakan umpan Dato’ lantas mempercayai kewujudan 
parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat 
pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang 
berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, 
tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui 
pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga 
kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam 
sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato’ 
ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari 
para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq 
al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat 
bersama lagi dengan realiti baru ini.
Apabila melihat kepada isu ‘Negara 
Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara 
Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti 
Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada 
dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya 
berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah 
drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka 
untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. 
Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di 
dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya 
merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti 
politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan 
dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam 
di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan 
bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka 
demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut 
positif oleh Dato’, malah dipandang sinis.
Melihat kepada isu hudud yang Dato’ 
anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang 
tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat 
konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan 
melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang 
terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk 
meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu 
yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang 
‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan 
hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak 
kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam 
melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini 
harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan 
keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS 
inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai 
bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.
Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin 
memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai 
mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang 
boleh Dato’ lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’. 
Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain 
dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk 
turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan 
senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin juga Dato’ boleh 
menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat 
rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri 
Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk 
dengan tugas exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. 
Buktikanlah kata-kata Dato’ yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira 
Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar 
bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café 
tidak akan menghalang kerja murni Dato’ itu. Saya yakin 10,000 atau 
lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato’ untuk menyelamatkan 
aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari seluruh negara untuk 
sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara 
praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu, Dato’ 
akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang 
sebenar!’.
Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM



________________________________
 From: badiuzzaman <[email protected]>
To: Forum Jamaah Islah Malaysia <[email protected]> 
Cc: [email protected] 
Sent: Tuesday, February 7, 2012 1:09 AM
Subject: Re: [Islah-Net] Kalau kaki kencing manis, tidak potong  merugikan
 

  

Satu lagi perbandingan yang sesat lagi menyesatkan oleh Subky Abdul Latif..

Dr.Hasan Ali sebenarnya memberitahu di mana salah dan silapnya PAS, 
juga Jamaah PAS sekarang. Sebagai orang yang pernah bersama PAS dan 
Jamaah PAS secara 'intensive dan extensive', dia tentu dah maklum dan 
arif apa yang ada dalam PAS dan Jamaah PAS. Sekarang adalah masa yang 
terbaik bagi PAS dan Jamaah PAS untuk bermuhasabah. Mirror yourself!! 
Jangan pandai muhasabah BN, UMNO dan konco-konco mereka sahaja!!

Apa sumbangan PAS dan Jamaah PAS dalam kebangkitan ISLAM YANG SEBENAR 
di Malaysia? Kenapa PAS dan Jamaah PAS sekadar jadi pengkritik dan 
pemerhati tapi kelompok sendiri gagal memberikan alternatif, gagal 
menunjukkan contoh penyelesaian kepada segala yang difikirkan mungkar 
dalam kerajaan sekarang? Kenapa? Sebab kerajaan negeri yang dikuasai 
PAS pun sebenarnya dua kali lima sahaja? Sebab dah sedar selama ini 
PAS pun sebenarnya meludah ke langit? Sebab dah sedar selama ni PAS 
pun sebenarnya menepuk air dalam dulang?

Ayam-ayam jantan dalam PAS tak perlu berkokok mengatakan diri mereka 
suci dalam keadaan ekornya sendiri penuh bergelumang tahi!!

At 6/2/2012 12:41 PM, you wrote:
>DHA KAYU BURUK  MENJEJASKAN HARAKAH?
>
>http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/7611-kalau-kaki-kencing-manis-tidak-potong-merugikan#.Ty9Z_0kZC3I.email
>
>---
>This message was sent by [email protected] via 
>http://addthis.com.  Please note that AddThis does not verify email addresses.

Kalau kaki kencing manis, tidak potong merugikan

Subky Abdul Latif, 16 Jan 2012

Pofesor. Madya Atorry Hussein kata, PAS telah rugi kerana memecat 
Datuk Hasan Ali.

Saya kata, memang tokoh akademik itu telah berkata betul seperti yang 
dirakamkan  dalam surah al-Asri yang bermaksud, sesungguhnya manusia 
itu sentiasa dalam kerugian.

Ketika dia dipecat,  dia adalah ADUN PAS Gombak Setia. Apabila dia 
dipecat dari parti, maka PAS sudah tidak ada wakil rakyat di situ.

Siapa pun yang hendak menjaga kepentingan rakyat  dan kawasan itu 
sesuai dengan kepentingan politik PAS di situ? Benar Hasan masih 
wakil rakyat di situ. Jika dia menjalankan tugasnya, maka dia sudah 
tentu tidak menjalankannya mengikut kepentingan PAS.

Seorang wakil rakyat PAS telah ditetapkan oleh PAS di zaman Dr. 
Burhanuddin al-Hilmy dulu mesti mendermakan 20 peratus dari elaunnya 
kepada parti. Bagi Anggota Parlimen kepada PAS Pusat dan bagi ADUN 
kepada PAS negeri. Apabila mereka pencen, maka caruman itu tinggal 
lima peratus saja.

Begitu juga kalau dia Menteri Besar atau Exco. Maka setiap bulan PAS 
dapat  wang masuk 20 peratus dari elaun mereka dan lima peratus 
setelah pencen hinggalah mereka mati. Jika mereka dipecat peruntukan 
itu tentu hilang. Tidakkah rugi namanya?

Maka sebagai parti politik, PAS tidak sunyi dari kerugian. Ia juga 
rugi bila wakil rakyatnya kalah. Kalau ia menang, potongan elaun itu 
20 peratus, tetapi bila kalah, PAS dapat lima peratus saja. Rugi juga.

Setelah Ustaz Hassan Shukri tidak jadi senator, dia bagi elaun 
pencennya setiap enam bulan sekali. Sebelum dia meninggal dia beri 
elaun untuk enam bulan yang akan datang. Didahulukannya pemberiannya 
itu. Bila dia mati, PAS tidak lagi dapat duit. Tidakkah PAS juga rugi?

Demikian apabila sekalian bekas wakil rakyat dan bekas senatornya 
mati. Banyak kerugian yang ditanggung oleh PAS?

Manusia itu begitu. Universiti melabor banyak terhadap profesornya 
untuk kepentingan kampusnya. Cukup kalau profesor itu lari ke 
universiti lain atau berhenti. Tidak rugikah universiti. Seperti 
Atorry  Hussein, katakan tiba-tiba mati belum bersara. Tidak rugikah 
universiti? Tentulah rugi.

Kerajaan mengeluarkan beratus ribu belanja untuk menanggung seorang 
pelajar perubatan. Setelah tamat tempoh kontreknya berkhidmat dengan 
kerajaan dia letak jawatan bagi membuka klinik sendiri. Kerajaan 
telah kerugian dan terpaksa menanggung pelajar perubatan yang baru 
bagi mengganti doktor yang pergi itu.

Logiknya semua profesor itu diperlukan khidmatnya oleh universiti. 
Tetapi setengah profesor yang baik itu cenderung pula pada politik. 
Mereka pun berpolitik bersama pembangkang. Mereka sudah melanggar 
akta universiti. Universiti terpaksa buang mereka. Tentulah 
universiti rugi. Walau pun rugi tetapi universiti terpaksa buang juga 
mereka. Mengapa?

Antara profesor itu amat sayang pada isterinya. Tetapi isterinya 
sakit tenat. Menderita lama di hospital. Harapan pulih tidak ada. 
Dari menderita begitu, maka profesor redha,  mati adalah lebih baik 
baginya. Profesor sayang padanya, apabila mati profesor kehilangan 
orang yang dikasihi. Rugi isteri mati, tetapi di sebaliknya memungkin 
profesor beristeri lain pula.

Semua manusia sayang akan kakinya. Tetapi apabila  dia terkena sakit 
kencing manis, kakinya terpaksa dipotong. Apabila dipotong rugilah 
kakinya. Dia juga rugi kerana sudah tidak berkaki. Dia sayang pada 
kakinya. Tetapi kalau tidak dipotong kaki itu, dia pula akan mati cepat.

Oleh itu biarlah dia tidak berkaki asal dapat meneruskan hidup dalam 
keadaan cacat tetapi dapat lagi beribadat. Sesayang mana pun dia pada 
kakinya, tetapi dia terpaksa menerima hakikat membuang kakinya yang 
sudah tidak berguna dan memudaratkan jiwanya lebih baik.

Membuang kaki yang begitu lebih baik dari berkaki yang tidak berguna lagi.

Bukan PAS tidak sayang pada Hasan Ali. Tetapi politik itu, kata Tok 
Guru Haji Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di muktamar lalu, ada 
fiqahnya. Mufti Perak mahir fiqah lain tetapi tidak mahir fiqah politik.

Yang PAS bertindak terhadap Hasan itu adalah mengikut kehendak fiqah 
politik. Kalau kaki kencing manis terpaksa dipotong, tidak 
memotongnya lebih merugikan.


 

Kirim email ke