Sebelum ini ADUN BN Sungai Lui ini terkenal kerana mencarut dalam Sidang Dewan 
Undangan Negeri Sembilan dengan menjerit perkataan lucah dalam bahasa Tamil, 
yang bermaksud alat sulit wanita. Kini ADUN yang sama dimaki dalam Facebook 
oleh seorang remaja.
 
Adun dimaki dalam Facebook
21 Februari 2012 
 
JEMPOL - Tanpa sebarang sebab, seorang remaja bertindak menghambur kata-kata 
kesat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal 
Abidin Ahmad menerusi komen dalam laman sosial, Facebook.
 
Kata-kata kesat berbaur lucah itu terpapar dalam akaun Facebook sebuah kumpulan 
warga Felda sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.
 
Berikutan itu, Zainal Abidin bercadang untuk membuat laporan polis berhubung 
tindakan remaja berkenaan yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil 
Pelajaran Malaysia (SPM).
 
“Bagaimanapun, saya menarik balik hasrat berkenaan selepas remaja terbabit 
membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulanginya.
 
“Saya tidak tahu punca remaja berkenaan berbuat demikian tetapi saya percaya 
ini di­sebabkan sikapnya yang masih muda,” katanya.
 
Zainal Abidin berkata, tindakan remaja berkenaan seharusnya menjadi teladan 
kepada remaja lain supaya berhati-hati dalam memberi sebarang komen kerana ia 
boleh menimbulkan suasana tegang serta tidak sihat kepada masyarakat.
 
“Tidak salah untuk memberi pandangan laman sosial tetapi bukan disalah guna. 
Kadang-kala orang yang membaca boleh salah tafsir mengenai satu-satu hal yang 
ditulis dalam laman sosial,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, 
semalam.
 
Zainal Abidin turut menasihatkan remaja supaya menjaga perilaku terutama ketika 
berhadapan dengan orang lebih tua.
 
“Mereka juga adalah pemimpin masa depan. Jadikan perkara ini sebagai iktibar 
agar ianya tidak berlaku lagi,” katanya.
 
Sementara itu, Sinar Harian mendapati komen dalam laman Facebook berkenaan 
sudah dibuang dan remaja berkenaan memberitahu akan menemui Zainal Abidin dalam 
masa terdekat untuk menjernihkan keadaan.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/adun-dimaki-dalam-facebook-1.25601
 
 
ADUN BN mencarut titah perbahasan Diraja
Keadilan Daily
27 April 2011
 
SEREMBAN: Sesi Perbahasan Titah  Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada sesi 
Dewan Undangan Negeri semalam, dicemari dengan tindakan Adun BN bergelar datuk 
yang bangun dan mencarut dengan perkataan lucah.
 
Menurut Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),  Badrul Hisham 
Shaharin, kejadian itu berlaku ketika  Adun Bahau, Teo Kok Seong membahaskan 
titah Diraja, semalam.
 
Disebabkan gagal berhujah, Adun Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad bangun 
mencelah dan menjerit perkataan lucah dalam bahasa tamil, yang bermaksud alat 
sulit wanita.
 
“Apabila diminta diambil tindakan oleh speaker yang juga seorang Adun BN, 
dengan selamba mengatakan yang dia tidak dengar apa-apa perkataan lucah yang 
dijeritkan Adun Sungai Lui sedangkan satu dewan mendengar jeritan carutan itu 
termasuk wartawan dan semua yang hadir dalam mengikuti persidangan pagi tadi 
(semalam),” ujarnya.
 
Badrul berkata ia bukan pertama kali Zainal menimbulkan kekecohan dalam dewan 
kerana mencarut.
 
Tahun lalu, Zainal juga melakukan perkara yang sama dengan bangkit dan mencarut 
menggunakan bahasa Tamil kepada salah seorang Adun berketurunan India.
 
Justeru, kata Badrul, perkara itu membuktikan Adun BN Negeri Sembilan itu, 
derhaka terhadap Yang Di Pertuan Besar N.Sembilan kerana  mempermainkan dan 
menghina perbahasan titah Diraja dalam dewan yang mulia.
 
Ia juga katanya, membuktikan Adun BN itu gagal berhujah dengan baik sebaliknya 
membazirkan masa dan wang rakyat melalui persidangan dewan dengan mencarut, 
sehingga speaker dewan juga tidak mampu mengendalikan sidang berkenaan dengan 
berkesan.
 
Malah kata Badrul, Adun BN berkenaan bukan sahaja mencarut dengan menyebut alat 
sulit wanita dalam bahasa India, tetapi juga tidak sensitif dengan menghina 
wanita dan kaum India.
 
“Selaku anak muda dan warga Negeri Sembilan saya merasa amat sedih dan kali ini 
merasakan benar – benar Adun BN sudah melampau dan mempermainkan rakyat.
 
“Saya juga melalui Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merafak sembah agar 
DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dapat 
mengambil tindakan tegas terhadap penghinaan dewan khususnya ketika membahaskan 
titah Diraja,” ujar beliau.
 
Tambah Badrul, kejadian itu juga membuktikan kemunafikan Umno, media dan 
organisasi kononnya pembela raja dan Melayu.
 
“Jika kejadian seperti ini berlaku di negeri bukan diterajui BN sudah tentu 
heboh dan kecoh, tetapi oleh kerana ia negeri di bawah cengkaman BN maka ia 
ditutup sahaja.
 
“Makin jelasnya sebenarnya mereka hanya bertegas berdasarkan kepentingan 
politik semata,” tegasnya.
 
Sumber : http://www.keadilandaily.com/adun-bn-mencarut-titah-perbahasan-diraja 
 
Sidang DUN: Adun wanita DAP `serang’ menteri besar
November 24, 2011 
 
SEREMBAN: Sidang DUN Negeri Sembilan hangat seketika apabila Adun wanita Wong 
May  May (DAP-Mambau) “menyerang” Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan 
berhubung kenyataan kadang kala jenayah juga berpunca daripada kecuaian orang 
ramai yang tidak mengunci pintu dan meletakkan tong gas di belakang rumah 
mereka.
 
Mohamad (BN-Rantau) berkata demikian ketika menjawab soalan asal 
 
Gunasekaran (DAP-Senawang) yang meminta kes jenayah perlu dibanteras secepat 
mungkin agar orang awam bebas bergerak dan berada di dalam situasi yang selamat.
 
Jawapan  itu membangkitkan kemarahan May May apabila beliau mendesak Mohamad 
meminta maaf kerana menyalahkan mangsa jenayah.
 
“Jawapan ini menghina dan meletakkan kesalahan pada mangsa jenayah sedangkan 
peratusan mangsa cuai adalah amat kecil.
 
“Malah rumah Adun Lobak, Loke Siew Fook sendiri pernah dipecah masuk sehingga 
pintu bilik beliau turut dipecah walaupun rumah beliau mempunyai tiga kunci dan 
bilik juga berkunci”, kata May May.
 
Ketika itu  Zainal Abidin Ahmad (BN-Sungai Lui) mencelah dengan bertanya pada 
May May “Mambau masuk bilik Lobak kah?”.
 
Desak minta maaf
 
Pertanyaan yang berbaur lucah tersebut membuatkan wajah May May agak berang. 
Bagaimanapun May May tidak menghiraukan Zainal Abidin dan terus mengasak 
Mohamad dengan mendesak meminta maaf.
 
May May juga turut mempertikaikan jawapan Mohamad bahawa kadar jenayah telah 
menurun sebanyak 20 peratus.
 
May May berkata kadar jenayah tidak turun tetapi mungkin ramai yang tidak mahu 
membuat laporan polis kerana hilang keyakinan ke atas pihak polis .
 
“Ada mangsa yang membuat lima hingga enam laporan polis tetapi tiada 
tindakan.Kadang kala terpaksa menunggu sehingga berjam-jam untuk membuat 
laporan polis dan menunggu pegawai penyiasat (IO).
 
“Mangsa yang dalam keadaan seperti ini sudah tentu akan hilang keyakinan kepada 
pihak polis”, ulas May May lagi.
 
Mohamad  bangun dan menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud meletakkan 
kesalahan kepada orang ramai yang cuai sebagai punca jenayah tetapi sekadar 
mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk memastikan tahap jenayah terkawal itu 
adalah tanggungjawab bersama dan bukan seratus peratus diletakkan di atas bahu 
pihak berkuasa semata-mata.
 
Sumber : 
http://www.freemalaysiatoday.com/2011/11/24/sidang-dun-adun-wanita-dap-serang-menteri-besar
 

Kirim email ke