MIRI: Seorang ayah tujuh anak terkilan setelah diberitahu oleh pihak Lembaga 
Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini bahawa dia tidak layak menerima wang Bantuan 
Rakyat 1Malaysia (BRIM) atas alasan permohonan tanggungan telah wujud.
 
Walhal, menurut Zainal Tar, 45, dari Kampung Batu Satu, Kuala Baram di sini, 
tidak ada seorang pun dalam kalangan anak-anaknya pernah memohon BR1M melainkan 
dia seorang selaku ketua keluarga.
 
“Saya pernah memberitahu anak-anak termasuk anak sulung yang kini berusia 24 
tahun agar tidak memohon BR1M memandangkan saya selaku ketua keluarga telah 
memohon bantuan tersebut,” katanya.
 
Tapi yang menghairankan, katanya, semasa menyemak semula permohonannya sebanyak 
dua kali setelah diberitahu tidak layak pada kali pertama memohon pada 10 
Disember lalu, dia diberitahu bahawa anak sulungnya ada memohon bantuan sama.
 
Sedangkan, katanya, anaknya itu tidak pernah memohon bantuan tersebut dan masih 
bujang serta masih dalam tanggungannya.
 
“Dalam rekod LHDN, anak saya bernama Siti Hawa ada memohon BR1M dengan status 
berkahwin, sedangkan anak saya masih bujang dan masih dalam tanggungan saya,” 
jelasnya kepada Utusan Borneo di sini semalam.
 
Katanya, adalah tidak wajar kad pengenalan anaknya digunakan oleh orang lain 
untuk memohon bantuan tersebut sebagaimana yang diberitahu oleh pegawai di 
jabatan terbabit memandangkan kesemua kad pengenalan dan Sijil Lahir 
anak-anaknya ada dalam simpanannya di rumah.
 
Sehubungan itu, Zainal yang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan kurang 
RM1,000 sebulan sebagai peniaga kecil-kecilan di Pasar Malam SABERKAS untuk 
menampung kehidupan mereka sekeluarga, memohon pihak berkuasa meneliti semula 
permohonannya.
 
Katanya, pendapatan yang diperolehi sebagai peniaga di Pasar Malam yang hanya 
dibuka tiga kali seminggu adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan 
mereka sekeluarga dengan anak seramai tujuh orang berusia antara dua dan 24 
tahun serta ditambah isterinya yang merupakan suri rumah sepenuh masa dan kini 
sedang hamil enam bulan.
 
“Kalau dikira daripada jumlah pendapatan yang diperolehi hasil perniagaan 
kecil-kecilan dengan menjual kuih, keluarga kami boleh dikategorikan dalam 
golongan miskin bandar,” katanya yang bakal menimang cahaya mata kelapan tidak 
lama lagi.
 
Justeru, beliau merayu pihak berkuasa terbabit agar meneliti semula 
permohonannya bagi membolehkan dia menerima bantuan tersebut sebagai 
meringankan tanggungannya seperti penerima-penerima yang lain.
 
http://www.theborneopost.com/2012/01/28/ayah-tujuh-anak-terkilan-br1m-ditolak 

Kirim email ke