Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika sistem maklumat JKM, 
Hospital, PDRM dan Jabatan Pendaftaran Negara diselaraskan. Begitu juga dengan 
pendaftaran sebagai pengundi yang sepatutnya boleh dibuat secara otomatik 
sekiranya sistem maklumat Jabatan Pendaftaran Negara, SPR dan Imigresen 
diselaraskan kerana ini semua sepatutnya menjadi asas sebagai sebuah negara 
yang ingin mencapai status negara maju.
 
Orang mati masih terima bantuan
 
28 Feb 2012, IPOH - Sikap terlepas pandang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 
Perak yang masih menyalurkan bantuan kebajikan kepada individu yang sudah lama 
meninggal dunia mendapat teguran Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri.
 
Pengerusi PAC Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Omar (gambar) berkata, Jabatan 
Audit negeri mendedahkan bantuan kebajikan berkenaan yang sepatutnya dihentikan 
itu selepas penerima meninggal dunia tetap disalurkan selama beberapa tahun.
 
"Ada kes yang waris tetap mendapat bantuan kebajikan bulanan walaupun penerima 
sudah meninggal dunia sejak 2009 lagi. Sebanyak sembilan kes dikesan di Ipoh, 
Taiping dan Manjung melibatkan peruntukan hampir RM9,000.
 
"Walaupun tidak melibatkan peruntukan besar tetapi ia tetap perlu diberi 
perhatian serius. Sehubungan itu, saya telah memanggil Pengarah JKM Perak untuk 
memberi penjelasan mengenai isu berkenaan hari ini (semalam)," katanya selepas 
mempengerusikan mesyuarat PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini 
semalam.
 
Turut hadir ialah Pengarah Audit Perak, Datuk Seri Shamsiah Daud.
 
Raja Ahmad memberitahu, perjumpaan selama hampir dua jam itu mengenal pasti 
antara punca masalah itu berlaku kerana sikap tidak prihatin segelintir pegawai 
JKM peringkat daerah yang tidak mengemas kini data penerima.
 
Selain itu, pembayaran secara tunai kepada waris yang merahsiakan kematian 
penerima selama bertahun-tahun antara faktor ketirisan tersebut.
 
"Sehubungan itu, PAC Perak mencadangkan pembayaran secara tunai kepada waris 
dihentikan sebaliknya diganti dengan pembayaran melalui bank sepenuhnya.
 
"JKM negeri juga disaran lebih menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran 
Negara dan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi memudahkan data 
penerima bantuan kebajikan dikemas kini," ujar beliau.
 
Dalam perkembangan sama, Raja Ahmad memberitahu, JKM juga memberi jaminan akan 
mengambil tindakan disiplin kepada kakitangannya yang terbukti lalai sehingga 
berlakunya kesilapan tersebut.
 
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm
 

Kirim email ke