Oleh : Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail
Seremban, 28 Feb 2012 - PUSAT Dakwah Islamiah Negeri Sembilan yang terletak di 
Paroi adalah sebuah pusat yang membanggakan kerana kawasannya indah dan besar 
serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti asrama, dewan besar dan dewan-dewan 
kuliah. Juga sebuah surau yang tersergam indah.
 
Sayangnya surau tersebut nampak kelihatan sepi dan hanya sekali-sekala sahaja 
kelihatan meriah dan bercahaya apabila adanya sesuatu majlis ataupun aktiviti 
keagamaan diadakan.
 
Saya cadangkan agar pengurusan pentadbiran pusat dakwah itu memenuhi kegiatan 
aktiviti keagamaan sepanjang tahun dan tidak hanya bermusim pada hari-hari 
kebesaran Islam sahaja.
 
Adalah sesuatu yang merugikan umat Islam jika sudah mempunyai kemudahan yang 
begitu canggih dipersia-siakan begitu sahaja. Saya rasa Menteri Besar Negeri 
Sembilan pernah membangkitkan perkara sama tidak berapa lama dahulu. 
 
Pelbagai aktiviti boleh dijalankan, umpamanya memberi motivasi bercorak 
keagamaan kepada pelajar, kakitangan kerajaan dan swasta dari seluruh daerah di 
Negeri Sembilan. Ini kerana kemudahan asrama yang begitu lengkap.
 
Begitu juga untuk warga emas, bolehlah juga diadakan motivasi mengulang kaji, 
menambah ilmu dan mengembalikan semangat untuk bekalan akhirat dengan adanya 
pakej untuk mereka beberapa hari di sana. 
 
Kita mahu lihat Pusat Dakwah itu hidup dan bercahaya kerana keberkatan itu akan 
datang dengan sendiri jika sesuatu tempat ibadah atau majlis itu digegarkan 
dengan zikirullah, Qiamullail, bacaan ayat suci al-Quran dan sudah tentu dengan 
pengisian majlis ilmu disepanjang masa. 
 
Kesemuanya itu nanti boleh menghidupkan suasana ketenangan dengan santapan 
kerohanian.
 
Disyorkan juga supaya pusat Dakwah Islamiah Paroi ini mengambil beberapa 
pelajar tahfiz dan bahasa Arab sebagai program pengajian tetapnya bagi 
persediaan asas sebelum mereka dihantar ke pusat pengajian yang lebih tinggi 
nanti.
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm
 

Kirim email ke