Nafi hudud dalam al-Quran bermakna tolak al-Quran
Harakahdaily,
02 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac: Menyatakan bahawa hukum hudud tidak terdapat dalam
al-Quran dan hanya ciptaan manusia boleh menjejaskan aqidah.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim
Abdul Kadir (gambar), kenyataan seperti itu juga bermaksud menolak al-Quran itu
sendiri.
"Hukum hudud ini ditentukan oleh Allah, dalam al-Quran disebut secara jelas.
Sepakat ulama juga tetap bahawa hukum hudud ada dalam al-Quran seperti hukum
potong tangan dan bunuh balas (qisas).
"Sesiapa yang menidakkan hudud dalam al-Quran, maksudnya dia tolak al-Quran,"
tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Sedangkan katanya rukun iman yang keempat adalah percaya kepada kitab Allah
termasuk al-Quran.
Beliau yang juga bekas Mufti Kerajaan Terengganu berkata demikian ketika
diminta memberi pandangan terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad dalam satu program bersama mahasiswa baru-baru ini bahawa
hudud tidak ada dalam al-Quran dan perlaksanaannya tidak adil.
Rakaman video ucapan Mahathir itu juga kini disebar meluas di internet
khususnya di Youtube.
Dalam perkembangan lain, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut menggesa
para alim ulama, mufti hingga ke Majlis Raja-Raja Melayu menegur Mahathir yang
juga mantan Presiden Umno itu.
Ini kerana kenyataan Mahathir itu bukan sahaja boleh disifatkan teroesong dari
ajaran Islam malah boleh mengelirukan umat Islam seluruhnya.
“Kenyataan Tun Dr Mahathir ini ‘besar’ (salah) apabila menafikan hudud atau
mengatakan hudud tidak ada dalam al-Quran. Sedangkan perkataan hudud itu
sendiri jelas disebut dalam al-Quran.
“Hukum hudud bermakna hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh al-Quran secara
nas qat’ie iaitu nas yang putus seperti hukum mencuri, hukum berzina ada dalam
al-Quran.
“Begitu juga dengan nas yang berhubung dengan murtad, nas berhubung dengan
arak, qazaf dan semuanya ada jelas dalam al-Quran,” jelasnya