Amalkan politik Islam bukan injak lawan untuk menang, kata Mufti Selangor
Oleh Syed Mu'az Syed Putra
March 02, 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac — Menyokong gesaan agar gejala keganasan politik
dihentikan, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid menegaskan insiden itu boleh
diatasi sekiranya parti politik ikhlas dalam perjuangan selain berpegang kepada
prinsip Islam.
Kelmarin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa semua pihak termasuk
parti politik agar menghentikan gejala keganasan politik menambah insiden itu
boleh diatasi sekiranya rakyat berpegang kepada prinsip “negara barakah”.
Menurut Presiden ABIM Amidi Abd Manan, prinsip negara barakah mengangkat tinggi
prinsip, nilai akhlak, etika dan moral.
Jelas Tamyes, politik jika diamalkan dengan tertib dan teratur segala insiden
tidak baik termasuk keganasan politik tidak akan berlaku.
Beliau menambah walaupun ada yang beranggapan politik bukan sesuatu yang sihat
namun ia turut diamalkan Islam.
"Gejala keganasan politik tidak sepatutnya berlaku, politik perkara yang baik
jika dilakukan dengan tertib dan teratur... Walaupun ada yang beranggapan
politik itu kotor tapi politik itu perlu dan ia diamalkan dalam Islam.
"Sebab itu politik perlu dilakukan secara berdisiplin, maknanya istilah
keganasan politik adalah penipuan dalam politik seperti rasuah dan sebagainya,"
katanya kepada The Malaysian Insider.
Tamyes berkata semua parti politik di Malaysia sepatutnya mengamalkan prinsip
politik yang sihat selain menjaga kebajikan rakyat.
"Itu (keganasan politik) politik yang tidak sihat, kita perlu politik yang
sihat...menuju untuk membangunkan negara dan biarlah politk ini menuju ke
kerehdaan dan keberkatan Allah.
"Kita mahukan negara yang baik dan menjaga kebajikan rakyat. Masing-masing
bercita-cita untuk kemukakan sesuatu yang terbaik ke arah kebajikan rakyat yang
boleh memberikan mereka bahagia, harmoni dan tidak ketegangan," katanya.
Sebaliknya jelas beliau, semakin banyak insiden keganasan politik berlaku sejak
kebelakangan ini yang boleh memberikan tanggapan negatif masyarakat luar.
"Politik digalakkan, kalau nak kata semua pandangan orang ini sama susah, dalam
sebuah keluarga ibu dengan bapa pun ada berbeza pendapat. Masing-masing berbeza
pandangan.
"Kalau politik untuk membangunkan negara ia mesti dilakukan dengan lebih
harmoni, bukan menginjak-injak lawan dan akhirnya jadi orang yang
dikecam...berpegang kepada prinsip Islam, amalkan politik secara harmoni dan
tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau cacian," katanya.
Gangguan dan provokasi kerap berlaku semasa program ceramah diadakan
terutamanya dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13