Mac 7, 2012  - Beberapa penduduk komuniti Orang Asli di Pahang binggung apabila 
diberitahu mereka tidak layak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) walaupun 
dikatakan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.
 
Ismail Leh, 42, dari Kampung Batu Gong Chini berkata, beliau bersama isteri, 
Fatimah Buka Kunci, 38, telah memohon untuk mendapatkan bantuan RM500 
sekeluarga itu.
 
Bagaimanapun, mereka menerima surat yang mengatakan bahawa mereka tidak layak.
 
"Saya hanya seorang penoreh getah dan kadang-kadang isteri saya membantu saya. 
Pendapatan kami hanya RM600 sebulan.
 
"Saya tidak tahu ... mungkin untuk mengisi borang ini memerlukan seseorang yang 
boleh membaca dan menulis dengan baik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
 
Ismail dari suku kaum Jakun mempunyai lima orang anak yang berusia 17, 13, 12, 
7 dan 5 tahun.
 
Namun kata Ismail, permohonan bantuan BR1M bapanya diluluskan.
 
Menurut garis panduan BR1M di laman web Kementerian Kewangan, ketua keluarga 
bagi setiap isi rumah layak membuat permohonan jika mempunyai anak yang tidak 
bekerja dan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
 
Permohonan 10 keluarga ditolak
 
Ismail juga memberitahu bahawa keluarga sepupunya yang tinggal di kampung yang 
sama - terletak di Pekan, kawasan parlimen yang diwakilin oleh Perdana Menteri 
Datuk Seri Najib Abdul Razak - juga gagal mendapatkan bantuan itu.
 
"Sepupu saya mempunyai dua orang anak, kedua-dua masih kanak-kanak. Suaminya 
bekerja sebagai kontraktor.
 
"Secara keseluruhan, saya rasa kira-kira 10 keluarga di kampung saya yang tidak 
dapat bantuan," katanya.
 
Sehingga kini, tiada laporan yang memberitahu terdapat keluarga yang gagal 
untuk mendapatkan bantuan walaupun ada pemohon yang mempunyai pendapatan 
melebihi RM3,000.
 
Malah, seorang lelaki anggota MCA yang bergelar ‘Datuk’ di Triang, Pahang juga 
didapati layak untuk menerima  BR1M, walaupun selepas itu beliau mendakwa wang 
itu didermakan semula.
 
Pada Isnin lalu, Malaysiakini tutut melaporkan seorang penduduk Orang Asli dari 
suku Temuan kecewa bahawa permohonan BR1M  beliau telah ditolak walaupun beliau 
tidak mempunyai sebarang pendapatan.
 
Dewi Malam, 52, dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas di Hulu Langat, Selangor, 
berkata beliau menerima jawapan daripada Kementerian Kewangan pada 16 Februari 
yang mengatakan bahawa beliau tidak layak untuk menerima bantuan berkenaan.
 
http://malaysiakini.com/news/191327 

Kirim email ke