12 Mac 2012 , Berangan Enam, Umbai, Melaka - “Walaupun saya menerima bantuan 
daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan, namun kadangkala kami 
terpaksa juga mengikat perut,” kata seorang ayah yang menyara dua anak 
lelakinya dengan bergantung harap pada bantuan JKM.
 
Daud Hamzah, 69, berkata, dua anak lelakinya yang berumur 30 dan 36 tahun tidak 
bekerja kerana mengalami penyakit mental.
 
Menurutnya, wang bantuan JKM yang diterimanya hanya cukup untuk makan sahaja 
dan jika terpaksa digunakan untuk tujuan lain, mereka akan mengikat perut.
 
“Saya akan beli beras dan lauk untuk kami bertiga dengan menggunakan wang JKM 
memandangkan dua anak saya tidak bekerja kerana sakit,” katanya.
 
Daud berkata, kini dia tinggal di rumah pusaka yang tiada bilik air dan tempat 
memasak.
 
“Setiap hari saya perlu mengambil air dari perigi untuk memasak mahupun mandi 
selain memasak menggunakan dapur kayu,” katanya.
 
Katanya, diharap penderitaan hidup mereka akan berakhir sekiranya pihak 
berkenaan dapat membina sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 
Termiskin di hadapan rumah pusaka berkenaan.
 
“Saya juga mahu hidup selesa seperti orang lain dan berharap pihak berkenaan 
akan prihatin dengan penderitaan kami,” katanya.
 
Selain itu, Daud juga meminta pihak berkenaan menurap jalan di hadapan rumahnya 
bagi mengelakkan masalah debu. 
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tiga-beranak-ikat-perut-1.31432 

Kirim email ke