USIM seindah namanya 
Aduan Rakyat Online 13 Mac 2012
 
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini mengorak langkah dan menongkah arus 
perdana dalam merealisasikan harapan dan wawasan kerajaan dalam melahirkan 
golongan ilmuan dan cendekiawan dalam pelbagai bidang. Saban tahun, mahasiswa 
yang menamatkan pengajian di semua lapisan peringkat meningkat.
 
Namun, apa yang menyebabkan saya dan kawan-kawan yang sedang dalam proses 
menamatkan pengajian dan sebahagian telah selesai memegang skroll ijazah telah 
terbuku satu persoalan. Iaitu,”di mana masjid”? 
 
Kenyataan saya bukanlah mengambarkan yang kami tidak pernah ke masjid atau ke 
surau yang berdekatan. Tetapi, sebagai seorang mahasiswa yang bernaung di bawah 
gelaran ‘Islam’ pada nama institusi ini amatlah rasa terpanggil untuk meluahkan 
apa yang menjadi aspirasi semua pelajar USIM.
 
Kami boleh berbangga dan mendabik dada jika orang awam melawat USIM melihat 
bangunan Canselori atau bangunan Perpustakaan yang kosnya melibatkan RM1 juta 
lebih. Kami merasa gembira dengan kesenian pelbagai bentuk dan konsep fakulti 
di USIM. Kami juga berbahagia berdamping dengan ramai pensyarah dari pelbagai 
latar belakang, bangsa dan agama.
 
Namun, kami hanya tersenyum duka bila orang awam khususnya ibu bapa yang 
menghantar anak-anak mereka belajar ke sini  diajukan soalan di mana rumah 
Allah atau Baitullah. 
 
Terasa kerdil diri dan terus mengecil hati sejenak memandang jauh ke arah 
masjid-masjid yang tersergam indah di perkarangan Universiti Kebangsaan 
Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sungguh mendamaikan 
suasana dan menenangkan jiwa dengan hanya memandang. Apatah lagi, menjejakkan 
kaki ke dalam dan bersolat sebagai seorang hamba yang mengharapkan keredhaan 
Penciptanya.
 
Bangunan Konvokesyen dan fasiliti-fasiliti yang rancak dibina bagai cendawan 
tumbuh selepas hujan amatlah didambakan mahasiswa. Justeru, mahasiswa 
sekurang-kurangnya dapat menghargai dan merasai pengalaman tinggal di 
universiti berbanding di kampung halaman masing-masing yang prasarana awamnya 
ketara bagai langit dengan bumi di sini. 
 
Prasarana dan suasana universiti telah terbukti banyak melahirkan 
pemimpin-pemimpin negara. Universiti menjadi gedung pencungkil kemahiran 
insaniah dan membentuk peribadi mahasiswa minda kelas pertama.
 
Walaupun begitu, kekosongan aspek kerohanian amat perlu dititikberatkan. 
 
Semua aktiviti-aktiviti Islam sebolehnya dilakukan di sebuah tempat yang 
bergelar masjid. Aktiviti-aktiviti Islam lebih mendapat barakahnya apabila 
sesuai tempatnya. Jika disingkap kisah Rasulullah, masjid menjadi tempat 
berkumpulnya para ilmuan Islam berbincang bab-bab ekonomi, sosial dan da’wah. 
Malahan, masjid dijadikan pusat perbincangan strategi perang terhadap lawan. 
Masjid bukanlah satu tempat yang hanya dikenali sebagai tempat solat 
semata-mata. Masjid sebenarnya berperanan lebih dari mencorakkan rutin 
masyarakat dan membina tamadun Islam itu sendiri.
 
Mahasiswa USIM amat berharap pihak pentadbir dan pengurusan USIM mengambil tahu 
akan aspirasi kami sebagai ‘penduduk’ USIM. Kami juga ingin melanjutkan harapan 
kepada pemimpin-pemimpin pelajar di USIM. 
 
Kami mahu sebuah tempat khusus dibina untuk kami bersolat sujud syukur selepas 
memperolehi ijazah nanti. Besar harapan yang kami tadahkan, besar lagi rahmat 
Allah kepada penduduk bumi. 
 
Andai kata susunan kata ini dapat membantu hasrat  sebahagian besar mahasiswa 
USIM. Sesungguhnya gurisan indah bukanlah di dalam peta kehidupan, tetapi di 
dalam hati nurani yang kekal abadi. Iaitu iman~
 
John Connor USIM.
 
By: Afifuddin90
 
http://www.aduanrakyat.com.my/usim-seindah-namanya#more-11304 

Kirim email ke