13 Mac 2012 Telok Emas, Melaka - Seorang bapa yang hilang punca pendapatan 
selepas kemalangan, sedih melihat empat anak berusia tujuh hingga 15 tahun, ke 
sekolah tanpa duit belanja.
 
Hairuddin Muhammad, 47, dari Taman Seri Telok Emas di sini, berkata, dia tidak 
mampu bekerja selepas kakinya patah tiga bulan lalu, akibat kemalangan di 
tempat kerja.
 
Menurutnya, mereka sering terputus bekalan makanan dan hanya berlaukkan telur, 
sumbangan individu yang simpati dengan nasib mereka sekeluarga.
 
“Saya bimbang soal makan minum keluarga saya kerana anak terpaksa berlapar 
tanpa wang belanja ke sekolah. Adakala saya teringin makan lauk asam pedas 
tetapi isteri hanya mampu sediakan kuahnya sahaja tanpa ada ikan ataupun 
daging,” katanya ketika menerima kunjungan beberapa ahli Pertubuhan Kebajikan 
dan Dakwah Islamiah (Pekida), Ranting Telok Emas, di sini, semalam.
 
Hairuddin sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah pusat pengajian 
agama di Padang Temu, patah kaki selepas meleraikan sekumpulan pelajar yang 
bergaduh pada Disember lalu.
 
Hairuddin berkata, sebelum ini dia tidak berdepan sebarang masalah dengan 
pendapatan RM500 sebulan dan ditambah dengan bantuan bulanan daripada Jabatan 
Kebajikan Masyarakat (JKM).
 
“Kini hidup saya sekeluarga tak menentu. Ansuran rumah sudah tiga bulan 
tertunggak, begitu juga bil elektrik dan air,” katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/anak-terpaksa-berlapar-ke-sekolah-1.31803
 

Kirim email ke