Alangkah baiknya lepasan SPM dan STPM kita yang kurang berkemampuan dapat 
melanjutkan pelajaran dengan yuran yang minima sepertimana banduan-banduan di 
bawah ini, tanpa perlu memohon PTPTN.
 
Laporan Khas: 11 banduan akan dapat ijazah
 
Sekolah integriti buka peluang pendidikan pesalah juvana terus pengajian
 
KUALA LUMPUR: Sebelas banduan muda, termasuk juvana yang dijatuhkan hukuman 
kerana kes bunuh bakal menjadi pemegang ijazah sarjana muda dan diploma 
menjelang 2013 melalui skim peluang kedua pendidikan yang disediakan Jabatan 
Penjara di sekolah integriti di seluruh negara. 
 
Sembilan daripada mereka mengikuti pengajian ijazah dalam bidang Pendidikan, 
Teknologi Maklumat (IT), Perundangan, Pengajian Islam, Pengurusan Perniagaan, 
manakala dua lagi pada peringkat diploma di Universiti Malaya (UM) dan 
Universiti Terbuka Malaysia (OUM). 
 
Mereka adalah antara 544 pelajar yang dipilih daripada 1,733 banduan muda, 
termasuk yang dikenakan perintah reman untuk menyertai skim pendidikan dalam 
tahanan sebagai persiapan menghadapi cabaran hidup sekiranya dibebaskan selepas 
tamat tempoh hukuman. 
 
Ketika ini, 11 pelajar itu adalah kumpulan pertama yang mengikuti pengajian 
tahun kedua peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang dan dijangka 
akan menamatkan pengajian dalam tempoh empat setengah tahun. 
 
Walaupun hidup dalam kurungan dengan kemudahan dan kebebasan terhad, mereka 
berjaya mengikuti pengajian dengan baik secara on-line dan berhubung dengan 
pensyarah melalui internet.
 
Kumpulan pelajar itu mendapat keistimewaan menggunakan kemudahan komputer untuk 
mengakses internet secara bersyarat dan kawalan ketat berbanding kumpulan lain 
yang cuma diajar asas menggunakan komputer.
 
Selain program ijazah dan diploma, banduan muda juga berpeluang menduduki 
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Pra 
SPM, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Pra PMR dan kelas asas 3M (Membaca, 
Menulis dan Mengira).
 
Berdasarkan tinjauan Berita Minggu di Sekolah Integriti Kajang, mereka 
disediakan kemudahan perpustakaan mini, kelas multimedia, bilik komputer dengan 
bantuan guru sepenuh masa Kementerian Pelajaran dibantu Guru Mentor (kakitangan 
Penjara).
 
Waktu persekolahan juga sama seperti sekolah harian biasa dengan setiap murid 
terpilih untuk meneruskan pengajian diwajibkan memakai pakaian sekolah putih 
yang dibezakan dengan warna kolar baju menandakan tahap pemulihan serta tempoh 
tahanan. 
 
Timbalan Komandan Sekolah Integriti Kajang, Cif Inspektor Ahmad Nasir Md Ali, 
berkata pelajar peringkat tinggi dibenarkan mengakses internet seperti laman 
web pendidikan bagi mengelakkan salah guna kemudahan.
 
“Waktu pembelajaran terhad digunakan sepenuhnya untuk belajar dan faktor 
disiplin tinggi banyak membantu mereka untuk menggunakan masa yang ada secara 
berkualiti. Bukan semuanya layak menyertai skim ini kerana mereka akan melalui 
tapisan pemilihan.
 
“Usia mereka masih muda, ada yang dihukum penjara 10 tahun...sekurang-kurangnya 
apabila dibebaskan, mereka mempunyai ‘bekalan’ untuk hidup,” katanya.
 
Kos pengajian mereka ditanggung universiti tempat mereka belajar melalui 
program derma siswa dan keluarga banduan cuma perlu membawa yuran peperiksaan 
serta yuran berulang. Setiap program pengajian siswazah memerlukan kos sehingga 
RM20,000 manakala peringkat diploma dianggarkan RM13,000 bagi setiap pelajar. 
 
Bagi pelajar OUM, mereka akan mengikuti kelas tutorial pada setiap hujung 
minggu bersama seorang tutor khas OUM di Sekolah Integrasi. Ini membolehkan 
mereka berbincang terus mengenai topik pengajian yang sebelum ini diikuti 
melalui online.
 
Sumber : 
http://www.bharian.com.my/articles/LaporanKhas_11banduanakandapatijazah/Article/print_html
 

Kirim email ke