22 Mac 2012 ; Kepis , Kuala Pilah - Sudah empat tahun seorang ibu tunggal, di 
sini menunggu permohonan bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat 
Termiskin (PPRT) yang dimohon sejak 2009 diluluskan, namun sehingga kini 
statusnya masih tidak diketahui.
 
Maznah Mohamad, 47, berkata, kehidupannya kini terhimpit kerana perlu 
menanggung lima anak di mana dua daripadanya masih bersekolah.
 
Menurutnya, dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja menoreh getah 
di atas tanah orang.
 
“Jika ada hasil, barulah dapat upah yang tidak seberapa. Jika sepanjang bulan 
itu cuaca panas, saya peroleh pendapatan RM200 hingga RM300 sebulan.
 
“Kadang-kadang pernah tiada sumber pendapatan kerana musim tengkujuh. Walaupun 
menerima bantuan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk 
bantuan persekolahan dua anak saya, namun ia masih tidak mencukupi,” katanya.
 
Sebelum ini katanya, dia pernah menyewa di sebuah rumah usang di kampung 
tersebut, namun sudah diambil semula oleh tuan tanah dan menetap semula di 
rumah ibunya, Kamariah Nordin, 65, di Kampung Air Kuning, Kepis Tengah.
 
“Saya terpaksa menumpang teduh di rumah ibu memandangkan tiada tempat tinggal 
dan berhimpit-himpit seramai 15 orang sekiranya adik-beradik lain pulang ke 
rumah.
 
“Kerana itu saya mahu memohon bantuan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan 
Keselamatan Kampung (JKKK) Kepis Hulu untuk memiliki sebuah rumah PPRT tetapi 
tiada sebarang tindak balas diberikan,” katanya.
 
Maznah berkata, dia berasa sedih apabila permohonannya mendapatkan bantuan 
tidak dilayan sedangkan dia amat memerlukannya.
 
“Pernah dahulu ada pihak JKKK memaklumkan permohonan saya diluluskan sehingga 
saya menyediakan tanah di belakang rumah ibu untuk didirikan rumah, tetapi 
hanya indah khabar dari rupa.
 
“Saya sudah puas memohon bantuan dan sehingga kini masih menunggu, namun sampai 
bila?,” katanya.
 
Katanya, berharap pihak berkaitan dapat melihat dan prihatin dengan masalah 
yang dihadapinya.
 
“Saya tahu senarai nama permohonan bantuan PPRT banyak, tetapi bagaimana ada 
orang yang baru sahaja ­memohon bantuan itu sudah diluluskan?.
 
“Justeru itu, saya berharap pihak berkaitan dapat meneliti dan menyemak semula 
permohonan saya yang dibuat sejak 2009 serta memberi maklum balas segera,” 
katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/menanti-bantuan-belum-pasti-1.34351
 

Kirim email ke