19 April 2012 
 
Kuala Klawang, N.Sembilan - Bimbangkan masa depan empat anak buahnya yang tidak 
mempunyai sijil kelahiran, seorang wanita di sini sanggup mengeluarkan wang 
simpanan­ sebanyak RM8,000 untuk membayar upah kepada pihak yang berjanji mahu 
membantunya.
 
Bagaimanapun, usaha itu hanya sia-sia apabila wanita berkenaan, Siti Khalijah 
Sani, 63, rupanya ditipu pihak berkenaan.
 
“Sebelum ini ada pihak datang ke rumah saya kononnya mahu membantu anak buah 
saya mendapatkan sijil kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
 
“Namun, saya ditipu oleh mereka. Mereka meminta wang sebanyak RM8,000 dan saya 
memberikan wang simpanan saya kerana mengenangkan anak buah saya sukar duduki 
peperiksaan kerana tiada sijil lahir,” katanya.
 
Masa depan empat beradik berusia 6 hingga 15 tahun itu kabur kerana tidak 
mempunyai sijil kelahiran sejak dilahirkan.
 
Lebih menyedihkan ibu kepada adik beradik malang, Masyati Idris, 35, 
menghilangkan diri sebaik saja bapa mereka meninggal dunia.
 
Siti Khalijah berkata, adiknya iaitu bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Chik 
Sani, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di 
persimpangan Kampung Sepri - Kuala Klawang pada 2007 ketika berusia 43 tahun.
 
“Selepas adik saya, Chik Sani meninggal dunia, lima bulan kemudian isterinya 
memberitahu saya bahawa dia mahu pulang menziarah keluarganya di Indonesia.
 
“Isterinya memang warganegara Indonesia dan saya mengizinkan kerana tidak 
mengesyaki apa-apa,” katanya.
 
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini setelah lima tahun, Masyati tidak lagi 
pulang ke rumah .
 
“Sejak Masyati menghilangkan diri, sayalah yang terpaksa memikul tugas menjaga 
empat beradik berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
 
Siti Khalijah mengakui dia tidak berusaha untuk mengesan Masyati yang berasal 
dari Sumatera, Indonesia.
 
“Keempat-empat beradik ini dilahirkan di Hospital Jelebu tetapi tidak mempunyai 
sijil kelahiran kerana kedua ibu bapa mereka gagal menunjukkan sijil nikah.
 
“Ini kerana, tanpa sijil nikah, pendaftaran kelahiran keempat-empat kanak-kanak 
ini berkenaan tidak dapat dibuat,” katanya.
 
Ketika ditanya, Siti Khalijah tidak pasti arwah adiknya berkahwin di mana 
tetapi percaya ia dilakukan dalam negara.
 
Hasil perkahwinan Masyati dan Chik Sani, mereka dikurniakan empat anak iaitu 
Dayang Diana, 15; Muhammad Faiz, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah 
Kebangsaan (SMK) Undang Jelebu; Nor Azlinda, 12, bersekolah di Sekolah 
Kebangsaan (SK)
 
Seperi Tengah serta yang bongsu, Siti Nor Faizah, 6, bersekolah di Tadika 
Perpaduan Taman Naga Mas.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/empat-beradik-tiada-sijil-lahir-1.41237
 

Kirim email ke