23 April 2012 SENAWANG: “Penduduk amat tertekan kerana kawasan ini seolah-olah 
sudah menjadi perkampungan mereka merangkumi kira-kira 1,000 pekerja asing yang 
menjadi penghuni di beberapa unit rumah dan rumah kedai,” kata Pengerusi 
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jasmin, Mohamad Azman Md Safar.
 
Menurut beliau, tindakan pihak tertentu menjadikan ia sebagai asrama pekerja 
asing menyebabkan penduduk taman berkenaan berada dalam keadaan tertekan 
berikutan sikap warga asing terbabit yang tidak disenangi mereka.
 
Kata Mohamad Azman, kehadiran pekerja asing terbabit yang tidak memahami dan 
menghormati budaya tempatan selain sikap pengotor mereka menyebabkan 
ketenteraman penduduk tempatan terjejas.
 
“Kelakuan mereka yang suka membuang sampah merata-rata menimbulkan rasa kurang 
senang penduduk tempatan kerana kawasan perumahan ini menjadi kotor. Penduduk 
tempatan seolah-olah menjadi kuli mereka kerana terpaksa membuang sampah dan 
membersihkan kawasan.
“Selain itu, penduduk semakin hilang sabar dengan sikap warga asing itu yang 
turut menconteng bangunan dan berkelakuan kurang sopan seperti berpakaian 
menjolok mata.
 
“Mereka juga didapati meminum minuman keras di luar asrama tanpa menghiraukan 
jiran sekeliling selain menjadikan taman awam sebagai tempat pergaulan bebas 
lelaki dan perempuan,” katanya. Menurutnya, penduduk bimbang sikap negatif itu 
boleh mempengaruhi remaja tempatan sekali gus memberi kesan tidak baik kepada 
pembangunan sahsiah mereka.
 
Dakwa Mohamad Azman, masalah itu sudah berlarutan sejak lebih enam tahun lalu 
namun bilangan pekerja asing berkenaan tidak ramai berbanding kini sehingga 
seolah-olah taman perumahan itu menjadi perkampungan mereka.
 
“Ahli jawatankuasa KRT pernah menasihati warga asing terbabit supaya memberi 
kerjasama dan tidak mengulangi perbuatan itu selain cuba memahami budaya 
penduduk tempatan, tetapi ia masih berterusan,” katanya.
 
Bagi penduduk, Mohd Faizal Rahim, 35, masalah itu sudah lama berlaku dan 
menyebabkan mereka tidak tahan lagi.
 
Dia yang menetap di situ lebih enam tahun lalu berkata, sejak taman itu 
dijadikan ‘perkampungan warga asing’, pelbagai masalah sosial berlaku dan tidak 
menolak kemungkinan ada berlaku kes persundalan membabitkan mereka.
 
“Saya amat tidak menyenangi kehadiran mereka kerana banyak membawa keburukan,” 
katanya.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012042020105320120420201053/Article/index_html
 

Kirim email ke