Perlukah lelaki ini dibelasah kerana mencuri wang di dalam tabung sebuah masjid?
 
Lelaki yang mencuri wang tabung Masjid Hadhari di Jerteh kelmarin terbaring 
selepas dibelasah oleh orang ramai. 
 
BESUT – Seorang lelaki menyangka dia bijak apabila menukar mangga tabung wang 
di Masjid Hadhari di Jerteh dekat sini untuk memudahkannya mencuri duit 
daripada tabung itu. Lelaki itu bertindak demikian selepas cubaan pertamanya 
untuk mencuri duit tabung itu tidak berhasil.
 
Bagaimanapun, taktik lelaki itu sekali lagi tidak menjadi. Cubaan kali kedua 
lelaki berusia 32 tahun dari Kampung Siam, Pasir Puteh, Kelantan itu untuk 
membuka tabung masjid itu dapat dihidu oleh pengawal masjid yang kemudian 
mencekupnya ketika dia sedang mengumpil tabung itu pada pukul 9.45 malam 
kelmarin.
 
Semasa diberkas, penganggur itu bertungkus-lumus menggunakan besi pencungkil 
tayar kereta untuk membuka mangga tabung masjid itu yang sebenarnya sudah 
ditukar kepada mangga lain oleh pihak masjid.
 
Setiausaha Masjid Hadhari Jerteh, Che Kar Awang berkata, rakaman kamera litar 
tertutup (CCTV) masjid itu mendapati dua hari sebelum ditangkap suspek sama 
dilihat cuba mencuri wang di dalam tabung itu tetapi pada waktu itu tabung 
tersebut kosong.
 
“Lelaki itu kemudian menukar mangga sebuah tabung itu tetapi pihak masjid 
menukar semula mangga yang dipasang suspek bagi mengelakkan suspek mencuri,” 
kata beliau ketika ditemui dekat sini semalam.
 
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm
 
 
CONTOHI HIKMAH RASULULLAH SEBAR RISALAH ISLAM
 
Kita telah diingatkan kepada peristiwa seorang Arab Badwi yang telah memasuki 
masjid Nabi SAW, lalu dengan sewenang-wenangnya membuang air kecil di salah 
satu sudutnya. Para sahabat yang menyaksikan hal itu menjadi berang dan ingin 
menerpa ke arah lelaki Badwi tersebut disebabkan kebiadapannya mencemari rumah 
Allah SWT.
 
Rasulullah SAW bersama sifat kasih, cinta dan rahmat yang menebal di dalam 
dirinya menahan para sahabatnya dari bertindak melulu, kasar, mencaci serta 
menjatuhkan maruah insan lain.
 
Baginda SAW membiarkan lelaki Badwi tersebut menghabiskan sisa kencingnya tanpa 
menyergahnya atau melemparkan kata cacian, cercaan dan unsur-unsur yang boleh 
menjatuhkan maruah.
 
Bahkan Baginda SAW menasihati dengan baik, penuh hikmah dan kasih sayang. Dalam 
kekalutan itu, Baginda SAW sempat menyampaikan dengan tenang satu sunnah kepada 
para sahabat iaitu cara bagaimana hendak menyucikan kencing dan najis dengan 
sabdanya, "Jiruslah pada air kencingnya itu sebaldi air".
 
Hikmah kebijaksanaan Baginda SAW menghalang sahabat bertindak kasar terhadap 
Arab Badwi tersebut, telah dapat mengelakkan kencing Arab Badwi itu bertaburan 
di dalam masjid kerana melarikan diri dari para sahabat.
 
Rasulullah SAW juga mengingatkan peranan mereka pada akhir hadis dengan 
sabdanya: Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak 
diutuskan untuk menyukarkan. (riwayat al Bukhari)
 
Melalui peristiwa ini, kita akan mendapati suatu contoh amali bagaimana harus 
subur merimbun di hati seorang pendakwah perasaan rahmat, cinta dan kasih 
terhadap golongan yang menjadi sasaran dakwahnya.
 
Memang sewajarnya, setiap muslim itu mencari dan mengutip bekalan ilmiah dan 
thaqafah Islamiah secukupnya dan bukan hanya bermodalkan sifat cemburu dan 
ghairah dalam memperjuangkan agama bagi menjamin pencapaian dakwah dan 
penyebaran risalah yang lebih gemilang. Wallahu a'lam.
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
 

Kirim email ke