Mungkin generasi kini , generasi Facebook serta Twitter tidak pernah dengan 
kisah lagenda Pak Kaduk. Kisah ayam Pak Kaduk yang begitu hebat yang tiada 
tandingannya. Akhiranya ayam milik Pak Kaduk inilah menyebabkan rumah dan tanah 
Pak Kaduk tergadai, dan lahirlah pepatah Menang Sorak, Kampung Tergadai.
 
BEKAS JUTAWAN LBJ TAK MAMPU BAYAR BIL API, AIR 
 
Tidak mampu membayar bil air dan elektrik yang mencecah lebih RM500 sebulan 
selain cukai tanah melebihi RM1,000 antara faktor segelintir penduduk Kampung 
Lyndon Ben Johnson (LBJ), Labu di sini, meninggalkan deretan banglo tiga 
tingkat di kampung itu yang kini menjadi kenangan kekayaan pernah dimiliki 
bekas peneroka terbabit.
 
Tinjauan mendapati hampir 10 rumah dibiarkan terbengkalai manakala 20 yang 
separuh siap terbiar dengan dengan semak samun.
 
Bekas Ketua Umno cawangan Labu Jaya, Norman Mohd Nor, 66, berkata, dia sedih 
melihat keadaan itu kerana 504 bekas peneroka kampung terbabit dikenalinya.
 
“Lebih menyedihkan, ada antara penduduk kini bekerja sebagai pengawal 
keselamatan untuk menampung hidup dan ada yang bergelap dalam rumah mewah itu 
kerana tidak mampu membayar bil elektrik,” katanya.
 
ORANG AKAN KATA, LAGI-LAGI PENEROKA YANG KENA
 
Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Rosli Yaakob mengingatkan agar pihak 
peneroka Felda tidak ghairah apabila diumumkan agensi itu akan disenarai di 
bursa saham sebaliknya mengambil iktibar nasib peneroka-peneroka di Felda 
Sendayan dan Felda Labu di Negeri Sembilan setelah terlepas ke pihak lain.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu, sebaliknya mengingatkan bahawa 
tanah merupakan sumber ekonomi mereka dan tidak sepatutnya dibiarkan memasuki 
perniagaan berisiko yang mungkin boleh terlepas kepada orang luar.
 
 
KISAH PENGAJARAN LAGENDA PAK KADUK
MENANG SORAK, KAMPUNG TERGADAI 
  
Di zaman dahulu terdapat seorang tua bernama Pak Kaduk. Kehidupan Pak Kaduk 
boleh dikatakan sederhana. Beliau mempunyai sebuah rumah, tanah untuk bercucuk 
tanam dan, yang paling beliau sayangi, se ekor ayam jaguh.
 
Ayam jaguh Pak Kaduk amat gagah. Ia telah banyak kali memenangi perlawanan. 
Ayam ini amat disegani di gelanggang perlawanan. Ayam jaguh ini jugalah yang 
telah banyak memberi Pak Kaduk pelbagai harta kerana memenangi perlawanan laga 
ayam.
 
Begitu terkenal Pak Kaduk dan ayam jaguhnya sehingga sampai ke pengetahuan 
Raja, yang turut meminati aktiviti laga ayam dan mempunyai beberapa ayam jaguh 
sendiri. Raja begitu takjub dengan pelbagai berita yang beliau dengar mengenai 
kehebatan ayam jaguh Pak Kaduk dan berhasrat untuk melihat sendiri ayam jaguh 
berkenaan.
 
Untuk tujuan itu beliau pun bercadang untuk mengadakan pertandingan laga ayam 
peringkat kebangsaan dengan rancangan agar Pak Kaduk dan ayam jaguhnya 
menyertai pertandingan ini.
 
Berita mengenai pertandingan ayam laga yang dianjurkan oleh Raja tersebar ke 
merata negeri. Sehingga ia sampai ke pendengaran pak kaduk juga. Pak Kaduk amat 
gembira apabila mengetahuinya dan begitu bersemangat untuk menyertainya. Beliau 
tidak sabar menanti hari pertandingan. Sebagai persiapan, beliau melatih ayam 
jaguhnya dan menyediakan pakaian yang baik bagi menghadiri pertandingan 
berkenaan.
 
Tibalah hari pertandingan, Pak Kaduk berada di gelanggang pertandingan di 
awal-awal lagi. Pertandingan dimulakan, ayam jaguh pak kaduk menyertai 
perlawanan demi perlawanan. Ayam berkenaan memenangi ke semua pertandingan laga 
yang disertainya. Banyaklah ayam-ayam lain yang terkorban atau cedera 
disebabkan kegagahan ayam jaguh Pak Kaduk. Sehingga akhirnya hanya tinggal ayam 
Pak Kaduk dan ayam laga Raja bagi perlawanan akhir untuk menentukan johan 
keseluruhannya.
 
Raja telah melihat kebenaran kegagahan ayam Pak Kaduk. Beliau meyakini bahawa 
ayam laganya tidak mungkin dapat mengalahkan ayam Pak Kaduk. Beliau bimbang 
akan maruah dirinya di mata rakyat sekiranya ayam jaguh beliau dikalahkan oleh 
ayam jaguh Pak Kaduk, seorang rakyat biasa sahaja. Beliau juga merasa cemburu 
akan kehebatan ayam jaguh Pak Kaduk. Sebagai seorang raja, beliau berpandangan 
sepatutnya ayam jaguh segagah itu lebih layak dimiliki olehnya dari dimiliki 
oleh Pak Kaduk.
 
Beliau pun berfikir untuk mengadakan helah bagi mengelakkan kekalahan dan 
memliki ayam jaguh Pak Kaduk. Akhirnya beliau membuat satu perancangan. Bagi 
melaksanakan perancangannya beliau menjemput Pak Kaduk untuk menghadiri makan 
malam muhibah sehari sebelum perlawanan akhir dijalankan.
 
Pak Kaduk pun menghadiri makan malam berkenaan dengan penuh rasa bangga. 
Sebelum acara makan malam dimulakan, Raja berkata kepada Pak Kaduk “Pak Kaduk, 
esok ayam kamu dan ayam beta akan bertanding. Mahukah kamu bertaruh. Sekiranya 
ayam kamu menang beta akan kurniakan kamu sebidang tanah seluas tanah kamu 
sekarang ini berserta rumah baru. Tetapi jika kamu kalah, kamu harus 
menyerahkan tanah dan rumah kamu kepada beta dan kamu perlu berkhidmat untuk 
memelihara dan melatih ayam-ayam jaguh beta pula.” Pak Kaduk merasa gembira 
dengan tawaran berkenaan kerana beliau amat yakin akan kemampuan ayam jaguhnya 
untuk menang. Pak Kaduk terus sahaja bersetuju dengan taruhan itu.
 
Acara makan malam pun dimulakan dengan penuh kemeriahan. Pak Kaduk dilayan 
dengan penuh istimewa. Beliau menjamu selera dan menikmati minuman yang 
dihidangkan sehingga mabuk dan lupa diri.
 
Sebelum acara berakhir dan semua yang hadir kembali pulang. Raja sekali lagi 
berbicara dengan Pak kaduk “Wahai Pak kaduk! Sukakah kamu kalau negara kita ini 
menjadi makmur dan masyhur di seluruh ceruk rantau. Apabila negara ini 
dikenali, ramai orang akan datang berniaga ke sini. Negara kita akan makmur. 
Rakyat seperti kamu juga akan hidup senang.”
 
Pak Kaduk menjawab “Sudah pasti, tuanku. Lebih ramai orang datang ke sini. 
Lebih banyak pertandingan boleh hamba sertai. Hamba akan memenangi banyak 
pertandingan. Hamba akan mendapat lebih banyak hadiah. Hamba pun akan masyhur.” 
Pak Kaduk nampak bersemangat.
 
“Apakah kamu tidak mahu turut menyumbang dan berbakti bagi memasyhur dan 
memakmurkan negara kita ini”,  tanya Raja lagi.
 
“Sudah tentu hamba mahu, tuanku”, sahut Pak Kaduk, “Derhakalah hamba ini jika 
enggan turut bersama untuk memasyhur dan memakmurkan negara kita.”
 
Raja lalu mencadangkan “Bagaimana kalau dicadangkan agar ayam jaguh kamu 
dijadikan milik negara. Betapa akan tandingkan ayam berkenaan dengan ayam 
jaguh-ayam jaguh milik raja dan putera raja dari negara lain. Beta yakin ayam 
jaguh kamu akan menang. Dengan kemenangan itu, beta akan mendapat pelbagai 
hadiah untuk membangun negara. Negara kita akan masyhur. Beta akan namakan ayam 
jaguh kamu itu dengan nama kamu – si Kaduk. Maka nama kamu juga menjadi masyhur 
di seluruh rantau ini.” Pak Kaduk terdiam sebentar. Pak Kaduk amat menyayangi 
ayamnya tapi ia sukar menolak permintaan Raja kerana kata-katanya sendiri tadi 
dan kerana tidak mahu mengingkari Raja.”
 
Raja berkata lagi “Kamu pandai melatih dan menjaga ayam jaguh. Beta akan 
mengganti ayam kamu dengan ayam beta. Kamu boleh melatih ayam itu untuk menjadi 
jaguh yang lain. Tidakkah ini sebagai tanda kesetiaan kamu pada negara?? Kamu 
sudah tua. Kalau tidak begini, bagaimana dapat kamu buktikan kesetiaan dan 
memberi sumbangan pada negara ini. Negara kita kecil. Kita harus membesarkannya 
untuk menjadi gagah agar tidak mudah digugat oleh musuh dari luar.” Raja 
bercakap panjang kepada Pak Kaduk dengan menyinggung perasaan patriotisme Pak 
Kaduk.
 
“Setia…. Berbakti untuk negara…. Negara yang makmur..” terngiang-ngiang kata 
berkenaan di telinga Pak kaduk. “Ahhh…. pantang Melayu menderhaka” kata Pak 
Kaduk di dalam hati. Beliau lalu berkata “Baiklah tuanku, hamba bersedia untuk 
menyerahkan ayam hamba ini untuk negara.”
 
Raja sungguh gembira. Ia lalu menghadiahkan ayam jaguhnya kepada Pak Kaduk 
sebagai ganti. Majlis pun berakhir. Semua yang hadir pulang ke tempat 
masing-masing untuk pertandingan akhir ayam jaguh kebangsaan pada esok hari.
 
Pada keesokan harinya, orang ramai berduyun-duyun mendatangi gelanggang 
pertandingan untuk menyaksikan pertandingan akhir. Teriakan 
“Kaduk!…Kaduk!…Kaduk!…Hidup Kaduk!!!” bersahut-sahutan dan bergempita. Orang 
ramai berteriak ‘Kaduk!’ kerana menyokong Pak Kaduk. Hulubalang dan pembesar 
Raja juga berteriak ‘Kaduk!’ kerana menyokong ayam baru si Raja yang telah 
dinamakan si Kaduk.
 
Pak Kaduk sungguh berbesar hati mendengar namanya diteriak dan disorak oleh 
orang ramai. Ia begitu gembira sehingga lupa diri dan lupa segala-galanya. Ia 
terlupa akan taruhannya dengan Raja. Ia terlupa akan pertukaran ayamnya dengan 
ayam Raja. 
 
Apabila pertandingan akan bermula, Pak Kaduk dan Raja perlu menyerahkan ayam 
jaguh masing-masing ditangannya kepada para petugas digelanggang untuk 
melagakan ayam jaguh berkenaan. Ayam kemudian dilepaskan. Maka berlagalah kedua 
ayam dengan sengitnya. 
 
“Kaduk!…Kaduk!…Kaduk!…Hidup Kaduk!!!”, bergempita sorakan penyokong Pak Kaduk 
dan penyokong si Kaduk.
 
Mendengar teriakan ‘Kaduk!’ semakin bergema, Pak Kaduk semakin bersemangat dan 
lupa diri. Ia melihat ayam laga yang telah diserahkan kepada Raja melanyak ayam 
laga yang lain. Ia terlupa bahawa ayam itu bukan lagi miliknya. Sorakan 
‘Kaduk…Kaduk’ mengelirukannya. Akhirnya, si Kaduk menang dalam pertandingan. 
Semua yang hadir bersorakan “Hidup Kaduk!!!….. Kaduk menang!!!” Hulubalang dan 
pembesar istana meneriak ‘Kaduk!!’ kerana menyokong Raja atas kemenangan ayam 
barunya si Kaduk. Rakyak meneriak Kaduk kerana menyangka Pak Kaduk memang 
menang. Mereka tidak tahu apa yang berlaku antara Pak Kaduk dan Raja.
 
Pak Kaduk berlonjak kegembiraan atas kemenangan ayam yang bukan lagi miliknya. 
Ia melonjak kegembiraan kerana namanya disorak dan diteriak oleh orang ramai. 
Begitu kuat lonjakannya sehingga beliau tidak menyedari bahagian belakang 
seluarnya terkoyak yang menampakkan punggongnya. 
 
Orang ramai mula tertawa melihat gelagat Pak Kaduk. Pak Kaduk makin gembira 
kerana menyangka orang ramai gembira atas kejayaannya. Perbuatan beliau 
berlonjak dengan seluar yang koyak berterusan sehingga beliau diejek oleh 
seorang budak “Pak Kaduk seluar koyak…Pak Kaduk seluar koyak!!”
 
Pak Kaduk lalu memeriksa seluarnya. Beliau merasa sungguh malu. Begitu malu, 
beliau berlari ke hutan untuk bersembunyi dari orang ramai.
 
Setelah beberapa hari barulah beliau secara bersembunyi kembali ke rumahnya. 
Malangnya tanah dan rumahnya telah dirampas oleh Raja. Barulah beliau teringat 
akan perjanjiannya dengan Raja.
 
Jiran-jirannya yang baru mengetahui kisah sebenar Pak Kaduk mula bercerita.. 
“Hai Pak Kaduk… Menang bersorak tapi kampung tergadai…”
 
Sejak dari hari itu, Pak Kaduk lenyap tidak tahu ke mana. Dikhabarkan Pak Kaduk 
masih hidup sehingga hari ni. 
 
Sesiapa yang  biasa menghadiri hari-hari perayaan, lihatlah di sekelilingnya. 
Orang tua-tua berkata, Pak Kaduk boleh dilihat dalam majlis sedemikian. Kalau 
nampak orang yang bersemangat berteriak “Kita Berjaya…. Kita Menang… Majulah 
kita..” sedangkan rumahnya tergadai, tanahnya hilang, maruah dan harga diri 
musnah, mungkin itulah Pak Kaduk atau keturunannya.
 
http://mohdtaufek.blogspot.com/2012/05/dulu-jutawan-peneroka-felda-kini.html 

Kirim email ke