19 Jun 2012 : Bekas tahanan, Saari Sungib mengesahkan wujud pelbagai deraan 
mental dan fizikal sepanjang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 
(ISA) termasuk dibogel dan kemaluan dijolok dengan kayu serta seksaan lain.
 
Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau menyalahkan polis atasan kerana 
menerapkan anggota bawahan dengan pendekatan deraan menyerupai ala Guantanamo 
terhadap tahanan yang belum dibuktikan bersalah.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu berkata, banyak ketidakadilan 
berlaku, antaranya dihalang bertemu ahli keluarga dan tidak dibenar berjumpa 
peguam.
 
“Tahanan tidak boleh hubungi sesiapa termasuk peguam dan keluarga selama 60 
hari. Pada 90 hari pertama, tahanan diasing dalam sel berbeza.
 
“Selepas 60 hari, baru dapat jumpa keluarga, itupun dipantau. Langsung tiada 
akses kepada peguam melainkan keluarga buat kenyataan bertulis mohon peguam 
dibenar melawat.
 
“Apabila dibebas pula, tahanan disyarat hanya boleh ‘buka cerita’ selepas 
setahun,” katanya menceritakan pengalamannya mengulas nota penyeksaan yang 
diseludup keluar dari Kem Kamunting.
 
Saari berkata, kezaliman ISA terserlah apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, 
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ditumbuk hingga matanya lebam.
 
Beliau menyeru lebih ramai peguam tampil memberi pandangan dan sokongan kepada 
bekas tahanan untuk memberi kekuatan kepada mereka supaya bercerita pengalaman 
ngeri ditahan ISA.
 
“Kesan seksaan memerlukan kekuatan untuk pulih dari trauma. Bukan mudah mahu 
ceritakan pengalaman,” katanya yang mencatat penderitaannya dalam buku secara 
bersiri “Suara Dari Kamunting” dan “Siri Mansuhkan ISA.”
 
Beliau ditahan ISA kali pertama pada 12 Oktober 1998 dan kali kedua, 10 April 
2001.
 
Nota penyeksaan yang memperinci seksaan ala Guantanamo terhadap 45 tahanan yang 
masih dikurung di pusat tahanan di Taiping, Perak terbongkar.
 
Nota tanpa tarikh itu diseludup keluar dari kem tahanan ISA di Kamunting oleh 
kakitangan kem dan diserah kepada Malaysiakini.
 
Seksaan itu berlaku, ketika proses soal siasat semasa individu berkenaan 
ditahan di satu pusat tahanan reman, sebelum dipindahkan ke Kamunting.
 
Antaranya mangsa dipaksa menanggalkan pakaian dan hanya memakai pakaian dalam 
dan “digantung terbalik” daripada satu “mesin” yang bergerak mengelilingi satu 
“bilik penyeksaan khas yang disyaki terletak di Bukit Aman”.
 
Selain itu, minyak panas dilumur ke kemaluan mangsa dan mencucuh kemaluan 
dengan api rokok.
 
http://www.keadilandaily.com/saari-sungip-sahkan-seksaan-isa-ala-guantanamo/ 

Kirim email ke