(APABILA YADIM BERPOLITIK, MAKA ROSAKLAH INSTITUSI DAKWAH DARI DUIT RAKYAT...)
Sindrom penafian budaya politik pembangkang — Aziz Jamaludin Mhd Tahir
June 22, 2012
22 JUN — Akhir-akhir ini begitu banyak penafian dilakukan apabila
pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang didedahkan dengan pelbagai isu peribadi
yang boleh menggoncangkan kedudukan sebagai orang penting dalam parti.
Terbaru, skandal dinar emas yang melibatkan kerugian berjuta ringgit tetapi
dalam masa sama menjelaskan “tidak kenal orang yang disyaki terbabit”.
Sindrom penafian bukanlah satu perkara baru. Ia sudah berakar umbi sejak lama
apabila ada pemimpin sanggup mencipta pelbagai teori songsang demi mendapat
kuasa walaupun pada hakikatnya “untung seguni” dalam jangka pendek tetapi “rugi
sekampung” dalam jangka panjang.
Sewaktu pembangkang memerintah Terengganu dahulu dengan angkuhnya menolak
pembesaran lapangan terbang yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu kerana
tidak mahu melihat negeri itu menjadi hab penerbangan utama di Pantai Timur.
Bagaimanapun setelah Barisan Nasional (BN) kembali memerintah pada 2004, projek
itu dilakukan sehingga Terengganu menjadi hab penerbangan jemaah haji bagi
Pantai Timur dan mampu menampung keperluan pendaratan bagi pesawat sebesar
Airbus.
Ketika Jambatan Pulau Pinang dalam peringkat kelulusan pembinaannya pada awal
tahun 1980-an, pembangkang dengan lantangnya mengkritik projek itu membazir dan
tidak perlu kerana lebih ramai rakyat memerlukan pelbagai kemudahan.
Tetapi apabila mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, mereka terus menggesa
agar Kerajaan Pusat tidak memberhentikan cadangan untuk membina Jambatan Pulau
Pinang kedua yang menghubungkan Batu Kawan di bahagian tanah besar dengan Batu
Maung di pulau.
Apabila meneliti cerita yang lebih lama kita juga akan menemui bagaimana
golongan ini pernah berjanji akan melelong Putrajaya jika mereka menang dalam
pilihan raya, tetapi kini mereka begitu yakin akan menang dan merampas
Putrajaya.
Tiada lagi kedengaran akan dilelong semua projek yang pernah dianggap membazir
dan mega pada suatu ketika dahulu, sebaliknya sedang mencongakkan keuntungan,
bila menang aset manakah yang bakal meraih keuntungan dan siapakah pula yang
akan memilikinya.
Pemimpin pakatan pembangkang sentiasa menaburkan janji, jika menang akan
diberikan pelbagai kemudahan, tetapi sampai sekarang belum pun ada projek yang
mereka laksanakan memberikan faedah kepada rakyat setelah hampir sepenggal
memerintah Pulau Pinang, Kedah dan Selangor serta lebih 22 tahun di Kelantan.
Apabila rakyat mempersoalkan janji yang dibentuk ketika kempen pilihan raya,
mereka memberikan alasan bahawa tetap akan dilaksanakan jika merampas Putrajaya.
Selain hanya tahu berjanji dan menafikan kesalahan sebagai helah menutup
kelemahan, parti pembangkang jugalah merupakan pengguna atau penerima faedah
daripada penolakan yang pernah dilakukan di peringkat permulaan.
Ketika kerajaan Pusat bercadang untuk memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia
sebanyak RM500 setiap keluarga yang miskin, parti pembangkang membuat tafsiran
ia adalah sogokan politik kerana terdesak untuk menang pilihan raya.
Disebabkan ramai rakyat mula merasakan faedahnya pemberian tersebut, parti
pembangkang mula mengaitkan pemberian itu sebenarnya cadangan mereka
sebagaimana dijanjikan dalam Buku Jingga. Dalam masa sama, apabila merasakan
ada peluang untuk meraih sokongan golongan muda, pakatan pembangkang turut
mengeluarkan hasrat akan menghapuskan dana pinjaman pelajar kerana kaedah itu
tidak boleh dipertahankan dan membebankan pelajar.
Atas rasa ingin menguji sejauhmanakah mereka mampu melaksanakan pendidikan
percuma, sebuah institut pengajian tinggi swasta yang dikawal oleh kerajaan
negeri di bawah pentadbiran parti tersebut ditangguhkan sementara waktu untuk
pembiayaan pelajar baru.
Akibat penangguhan itu, kerajaan Selangor bercadang mencairkan aset, yakni
menjual tanah dan hasil jualannya sebanyak RM30 juta akan dijadikan asas dana
pendidikan percuma.
Sebahagian rakyat Malaysia mula memikirkan apakah jumlah tersebut mencukupi dan
mampu menampung pembiayaan dalam tempoh lama?
Jika sudah kehabisan, berapa banyak lagikah tanah kerajaan akan dijual? Dalam
masa sama, mereka pantang melihat adanya tanah kerajaan yang kosong, akan
dicadangkan pelbagai projek komersial termasuk mengambil semula tanah yang
diperuntukkan untuk kemudahan rekreasi dan digazetkan sebagai kawasan hijau.
Demikian juga dengan parti sinonim dengan berasaskan Islam turut tidak
mementingkan kesejahteraan rakyat untuk memperoleh pendidikan agama dengan
lebih baik. Ketika berkuasa di Terengganu, tiada sebuah sekolah agama pun
dibina dalam tempoh empat tahun manakala setelah merasakan kedudukan politiknya
terancam turut sama dengan sekutunya untuk menentang pula pembinaan sekolah
agama rakyat di Perak atas alasan mengurangkan tanah yang diperuntukkan untuk
rekreasi.
Mengenai projek pemprosesan bahan nadir di Gebeng, Kuantan mereka sanggup
berbohong kepada rakyat kononnya projek itu akan membahayakan penduduk sekitar
dengan kemungkinan kebocoran radioaktif. Projek itu bukanlah projek yang boleh
disamakan dengan radiasi yang berlaku di Fukushima, Jepun dan projek Lynas
telah diakui mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Mereka tidak mempedulikan
pandangan pakar, mereka mencari sudut tertentu yang boleh dieksploitasi
sehingga membentuk teori songsang yang boleh mengelirukan masyarakat.
Allah SWT mengingatkan umat Islam untuk berwaspada dan berhati-hati menanggapi
sesebuah isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda
tersembunyi. Allah berfirman yang maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman!
Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah
(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum
dengan perkara yang tidak diingini -dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) —
sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al Hujurat:
6).
Ayat di atas dengan tegas memperingatkan umat Islam agar tidak mudah termakan
oleh sesuatu isu atau berita yang tidak tentu kebenarannya. Umat Islam digesa
untuk menyelidik dan memastikan isu-isu dan berita yang disebarkan oleh
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi isu dan berita itu
disebarkan pembangkang yang mempunyai agenda politik tertentu bagi menjatuhkan
maruah dan kewibawaan kerajaan.
Suatu ketika dahulu mereka menentang Kerajaan Pusat “menjual negara dan
kelebihan alam semula jadi dengan flora dan fauna” kepada negara luar bagi
menjana pendapatan menerusi pelancongan, kini merekalah sebenarnya menerima
faedah besar daripada kempen itu. Kelantan misalnya, pada masa kini amat
mengharapkan kehadiran pelancong, kerana ia akan membolehkan sektor perniagaan,
peruncitan, perhotelan dan pengangkutan berkembang sehingga menyebabkan Kota
Baru begitu sendat dengan kenderaan pada musim cuti sekolah.
Bagaimanapun dalam menikmati faedah daripada apa yang dilaksanakan oleh
kerajaan Pusat, parti pembangkang tidak pernah membuat penilaian objektif,
kesenangan dan kesejahteraan hidup pemimpin-pemimpin mereka adalah kerana dasar
pragmatik, dan bukannya sekadar tahu berjanji. Baru-baru ini, terasa ada
sedikit kejanggalan pendapat salah seorang pemimpin pembangkang dengan
angkuhnya mendabik dada dengan menulis pembangkang yang menyumbang kepada
perubahan dan pembaharuan.
Dari segi teorinya, sumbangan pembangkang perlu dalam sistem politik demokrasi
sebagai check and balance. Pembangkang boleh menjadi penegur atau ombudsmen
sebagaimana pernah dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau
menjadi Perdana Menteri, dan dalam masa sama, siapakah pula yang akan menjadi
“pengawas” bagi menegur pembangkang.
Walau apa pun istilahnya, peranan pembangkang di Malaysia tidak lebih daripada
tukang tolak dan tukang pukul yang tidak pernah menunjukkan sikap kerjasama
untuk kepentingan rakyat. Apabila terdesak, pakatan pembangkang memasang lukah
dan kemudiannya, lukah itu juga yang mereka gunakan untuk menafikan musuh
politiknya sebagai tidak ikhlas.
Masyarakat mungkin tidak boleh melupakan bagaimana apabila Umno sedia
melaksanakan perintah Allah dengan siapsiaga bermuzakarah atas prinsip
memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam, salah seorang pemimpin pembangkang
menunjukkan sikap berdolak-dalik. Akhirnya niat yang baik itu hanya tinggal
sekadar niat yang tidak ikhlas, manakala bila ada orang lain memberikan
pendapat atas keputusan tersebut, pemberi pendapat itu kemudiannya disalahkan
sebagai “orang tua gatal mulut”.
Semakin ghairah membina teori politik songsang, maka selagi itulah pakatan
pembangkang akan terus bermain dengan kata-kata kesat sebagai kaedah penafian
atau sindrom paku berkarat. Paku berkarat kalau masih boleh digunakan untuk
mengikat kayu, ikatan itu tidak akan kukuh, ia akan tercabut dan menimpa orang
lain. Rakyat akan terus menjadi mangsa, jika terpijak parutnya sukar untuk
disembuhkan manakala sakitnya mengambil masa lama untuk pulih.
Kita mungkin boleh belajar, bagaimana Arab Spring yang lahir dalam semangat
menentang pemerintah akhirnya terjerat dengan kepentingan pengaruh asing,
terutamanya dalam menjayakan hasrat Israel dan Amerika Syarikat untuk
memperkuatkan dasar imperialismenya ke atas negara Islam yang mempunyai sumber
minyak yang besar. Biarpun sudah berlalu lebih setahun, Mesir belum pulih;
saban minggu dan bulan kedengaran ada rusuhan serta kematian.
Bukankah ini bermakna, meruntuhkan apa yang sudah kita bina berdekad lamanya
adalah lebih mudah berbanding membina semula keamanan dan kestabilan politik
yang telah runtuh itu?
* Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia (Yadim).
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not
necessarily represent the views of The Malaysian Insider.