23 Jun 2012 GEMENCHEH – Orang ramai
dinasihatkan lebih peka dengan tanda-tanda sebagai pesakit mental
memandangkan Negeri Sembilan pernah muncul sebagai negeri tertinggi
yang mempunyai pesakit berkenaan. Pakar Psikiatri Hospital Tuanku
Ja'afar Seremban (HTJS), Dr Siti Hazrah Selamat Din berkata, semua
pihak perlu memandang serius masalah itu dengan menasihatkan rakan,
keluarga atau kenalan mereka yang menghadapi tanda-tanda sebagai
sakit mental.

Menurutnya, penyakit itu sememangnya
berlaku dalam kalangan masyarakat, namun tidak ramai dalam kalangan
mereka mengetahui dan mahu mendapatkan rawatan awal dengan berjumpa
pakar mahupun kaunselor.

"Dalam tempoh tiga tahun,
kira-kira 1,000 kes kesihatan mental direkodkan di negara ini dan
statistik berkenaan menunjukkan ianya bukanlah penyakit yang perlu
diremehkan dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu, orang ramai diingatkan
agar tidak memandang remeh masalah ini," katanya ketika
menyampaikan ceramahnya pada program Kesihatan Mental anjuran Panel
Penasihat Klinik Kesihatan (KK) Gemencheh di Dewan Theathreate
Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (Itqan), dekat sini,
kelmarin.

Dr Hazrah berkata, terdapat empat jenis
pesakit mental iaitu Skizofienia, bipolar mood disorder, kemurungan,
kerisauan dan was-was serta nyanyuk.

"Komuniti setempat boleh memainkan
peranan dengan memahaminya iaitu pesakit mental bukan bermaksud gila,
buatan orang, perlu dikurung sebaliknya dirawat secara berterusan,”
katanya.

Beliau berkata, pesakit mental boleh
diwarisi melalui keturunan di mana setiap anak mempunyai 13 peratus
peluang untuk mengalami masalah sama, bagaimanapun ianya tidak
semestinya berlaku.

“Jika diambil contoh penyakit seperti
kencing manis juga boleh menjadi penyakit keturunan. Namun sekiranya
individu menjaga dan mengawal pemakanannya, mereka tidak akan
mewarisi penyakit berkenaan.

“Begitu juga dengan pesakit mental.
Sekiranya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan dapat
menghindari tekanan, peluang untuk mereka menghidapi penyakit
berkenaan adalah kecil," katanya.

“Jika di Gemencheh ini dicatatkan
seramai 28 orang sedang mendapatkan rawatan pesakit mental di mana 18
daripadanya adalah lelaki dan 10 perempuan," katanya

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ramai-pesakit-mental-di-ns-1.59534
 

Kirim email ke