Musa Hassan : “Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang 
kaya guna ramai ‘bodyguard’.” 
 
13 Julai 2012 - Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa 
kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak 
berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.
 
“Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah 
jenayah.
 
“Sewaktu saya memikul tanggungjawab sebagai KPN dahulu, saya sering sebut 
tentang peningkatan kadar jenayah,” kata Musa dalam wawancara bersama The 
Malaysian Insider semalam.
 
Bekas KPN itu turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di 
tahap yang membimbangkan.
 
“Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 
‘bodyguard’.
 
“Kerana banyak jenayahlah menteri-menteri dan orang-orang besar perlukan 
‘bodyguard’,” kata Musa.
 
Musa Hassan telah berkhidmat untuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selama empat 
dekad dan memimpin pasukan tersebut selama empat tahun semenjak tahun 2006 
sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.
 
Walaupun berlakunya kes serangan, rompakan dan penculikan, polis, Unit 
Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan kementerian dalam negeri 
(KDN) mengeluarkan statistik kadar jenayah negara telah menurun semenjak 
kerajaan memperkenal Program Transformasi Kerajaan (GTP).
 
Unit Pencegahan Jenayah Pemandu dalam majlis bersama media semalam — langkah 
untuk mengurangkan kerisauan orang ramai, menyatakan statistik kadar jenayah 
menurun sebanyak 10.1 peratus pada lima bulan pertama tahun ini.
 
Sebelum ini, Unit Pencegahan Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka untuk 
menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga 
tahun lalu manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.
 
Pemandu turut merayu agar media membantu mereka mengubah persepsi rakyat dan 
mendesak agar laporan seimbang diberikan.
 
Ketika ditanya mengenai kenyataan Pemandu berkenaan statistik jenayah yang 
menurun, Musa mencadangkan kerajaan agar melantik pihak ketiga yang lebih bebas 
seperti universiti untuk memberikan data seperti statistik jenayah kerana 
mereka lebih bebas.
 
“Sewaktu zaman saya dulu, saya minta Universiti Sains Malaysia untuk keluarkan 
statistik jenayah.
 
“Ini turut dilakukan oleh pasukan polis di Amerika yang sering menggunakan 
universiti agar data yang diperolehi tepat dan tidak menyorokkan apa-apa 
fakta,” kata Musa lagi.
 
Menurut bekas KPN itu lagi, kadar jenayah diseluruh dunia meningkat akibat 
daripada kemerosotan ekonomi dunia akibat dariapada kemelesetan ekonomi yang 
berlaku di Eropah.
 
“Globalisasi menyebabkan sukar untuk sesebuah negara untuk mencegah berlakunya 
jenayah.
 
“Globalisasi menyebabkan ramai orang luar masuk ke Malaysia, yang kita tak tahu 
latar belakang dia, ‘especially’ dari Nigeria tentang kehidupan dadah mereka.
 
“Ini adalah diantara punca berlakunya peningkatan jenayah dalam negara,” kata 
Musa lagi.
 
Untuk mencegah masalah jenayah yang berleluasa hari ini, bekas KPN mencadangkan 
agar polis membuat penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi 
jenayah sekarang ini kepada ‘intelligence procurement’ atau ‘perolehan risikan’.
 
“Kita perlu mendapatkan maklumat-maklumat risikan terdahulu.
 
“Jika maklumat risikan polis bagus dari segi perolehannya, mempunyai hubungan 
rapat dengan penguatkuasa luar negara, maka kita boleh mengetahui awal 
berkenaan latarbelakang seseorang dan boleh memantau jika mereka penjenayah.
 
“Sama seperti dalam negara kita, kita perlu pantau geng-geng jahat dan 
penjenayah-penjenayah ni,” kata bekas KPN itu lagi.
 
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tak-perlu-sorok-fakta-jenayah-memang-meningkat-kata-musa-hassan/
 

Kirim email ke