Satu pandangan yang baik dari laman web Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan 
mengenai pengurusan saudara baru ketika ini yang perlu diperkemaskan. Hanya 
saudara baru yang lebih memahami masalah saudara baru. 
 
Menangani Isu Saudara Baru – Idea Lapok Perlu Diubah
22 Julai 2012 
 
1. Masyarakat perlu serius dalam menjalankan usaha mendidik mereka yang memeluk 
agama Islam  . Mereka yang memeluk agama Islam dalam sesuatu tempoh hendaklah 
melalui pemantauan berterusan tentang  amalan atau praktisnya sebagai orang 
Islam. 
 
2. Sekadar kita membiarkan mereka mengucap dan memiliki kad akuan pengislaman 
tidak mencukupi. Mereka perlu belajar mengenai ilmu agama dan menjalani praktis 
secara serius. Oleh itu kita perlu mewujudkan mekanisme pendidikan untuk 
mereka, sesuatu yang mudah dan fleksibel. Kita hendaklah mentadbirurus saudara 
baru untuk mempraktikkan amalan agama secara bersungguh-sungguh. 
 
3. Kalau dalam soal-soal dunia kita begitu prihatin untuk menubuhkan atau 
memperkenalkan akta tertentu bagi mewajibkan mereka melalui atau menjalani 
ataupun mengikuti kursus dalam tempoh tertentu, apa salahnya kalau mereka yang 
memeluk agama Islam diwajibkan melalui kursus seperti PLKN selama 3 ke 6 bulan 
bagi memantapkan akidah dan kefahaman mereka. 
 
4. Melalui cara ini, kita dalam memberi pendedahan tentang agama Islam adalah 
sebuah agama yang sempurna dan meliputi seluruh aspek kehidupan manusia 
daripada sebelum lahir hingga ke liang lahad dan selepas itu. 
 
5. Pada waktu ini, kaedah kursus bulanan ataupun mingguan yang digunapakai 
tidak begitu berjaya untuk melahirkan saudara baru yang mantap pegangan akidah 
terutama dalam menempuhi suasana kehidupan yang mencabar. Persekitaran hidup 
mereka yang penuh dengan cabaran, memiliki kepercayaan yang lemah mengakibatkan 
mereka hanyut apabila berhadapan dengan ahli keluarga ataupun masyarakat asal 
mereka. 
 
6. Kajian hendaklah dilakukan terhadap kaedah dan tatacara yang menjadi amalan 
kini yang dipraktis untuk memperoleh data mengenai sejauhmana program, latihan 
dan kursus yang dijalankan berjaya membentuk komuniti saudara baru dalam 
mencapai KPI kita. 
 
7. Pengurusan saudara baru tidak boleh berhenti setakat mendaftarkan mereka, 
memberikan kad akuan Islam dan selanjutnya memberikan bantuan-bantuan kewangan 
dan makanan ( belaian fizikal ) tanpa mempedulikan praktis mereka. Terdapat 
saudara baru yang sudah lebih 5 tahun memeluk Islam tetapi masih tidak tahu 
membaca fatehah. Kita faham bahawa kalau inilah kualiti diri mereka sehingga 
tidak mengerti untuk membaca fatehah, sudah pasti amalan solat waktu lebih 
membimbangkan. Tetapi kalau kita lihat kekerapan permohonan dan kelulusan 
bantuan, golongan ini berada pada paras yang tinggi. 
 
8. Kita berhemah tinggi dengan meluluskan bantuan dan menyelesaikan keperluan 
mereka. Usaha kita menyebabkan masalah fizikal mereka selesai tetapi kita tetap 
gagal untuk mengasuh dan mendidik. Kebanyakan yang kita temui merasakan bahawa 
dengan mengagihkan zakat dapat menyelesaikan kemelut sosial, soal kehidupan 
mahupun kemurtadan tetapi duit habis diagihkan tetapi masalah tetap tidak 
selesai. 
 
9. Ada pihak berpendapat bahawa kita perlu jinakkan mereka dengan berhemah, 
berhikmah dan berlembut. Hasilnya ialah kita diperkotak-katikkan. Hukum 
dilanggar sesuka hati. Nasihat tidak diendahkan.Hubungan yang tidak baik antara 
pegawai dengan pegawai dan antara pegawai dengan NGO menyebabkan saudara baru 
ini mengambil peranan memanipulasi dan melaga-lagakan mereka. Akhirnya tercetus 
situasi yang menyedihkan – kedengaran kata-kata dan ungkapan-ungkapan termasuk 
ugutan-ugutan yang tidak profesional. Semua pihak termasuk saya suka kepada 
pujian. Hati kita pula tidak sanggup menerima kritikan. Telinga kita pula suka 
mendengar keburukan orang. Akhirnya kita layan orang yang suka memburukkan 
pesaing kita menyebabkan masalah tidak dapat diselesaikan, masalah tinggal 
masalah dan berkubur tanpa batu nesan kemudian muncul balik secara berkala. 
 
10. Kita mesti berhentikan kaedah ini dengan merapatkan hubungan dan 
silaturrahim antara kita. Malangnya sudah lebih 10 tahun saya berada dalam 
bidang pengurusan baru tetapi ‘mereka’ tidak begitu mesra untuk bekerjasama 
apalagi untuk brainstorming idea ataupun berbincang dan mengajak bersama-sama 
untuk menyelesaikan permasalahan. Masing-masing dengan sikap kepegawaian mereka 
menyebabkan keadaan menjadi lebih malang. 
 
11. Ada pula yang mencetuskan persaingan yang tidak sihat di antara NGO. Sikap 
melaga-lagakan sukarelawan jua suatu penyakit parah yang memerlukan pembedahan. 
Sesuai dengan niat mereka masalah tetap melanda kita semua. 
 
12. Cubalah kita ukur kualiti saudara baru yang kita hasilkan. Kami pun masih 
gagal mentarbiah mereka. 
 
13. Penguatkuasaan pula tidak dapat dilakukan atas alasan mereka saudara baru. 
Sekali dua dinasihat dan diberikan peluang masih tetap tidak berubah maka 
hukuman dan penguatkuasaaan perlu dilaksanakan secara serius. Kita tidak mahu 
status muallaf dijadikan lesen untuk melanggar peraturan dan hukum hakam. 
 
14. Institusi mahupun individu yang menjaga saudara baru hendaklah bermuafakat 
dan duduk semeja untuk membincangkan dan menyelesaikan permasalahan ini. 
Pendekatan hendaklah bersepadu dan ada penyelarasan supaya kita dapat 
menunaikan tanggungjawab mendidik saudara baru secara menyeluruh. 
 
15. Pentadbiran dan pengurusan saudara baru hendaklah diprofesionalkan dengan 
diberikan laluan kepada mereka yang berlatarbelakangkan kelulusan pelbagai 
disiplin ilmu selain daripada  diberikan peluang kepada saudara baru sendiri. 
 
16. Saudara Baru lebih memahami dan mengetahui permasalahan dan soal kebajikan 
saudara baru. Pihak atasan hendaklah memantaukan dan menasihat segala 
gerakerja. Saudara Baru hendaklah dilibatkan dalam penggubalan modul, 
perlaksanaan latihan, gerakerja kebajikan dan pemulihan. 
 
17. Kita juga hendaklah membentuk jaringan kerjasama dengan semua jabatan agama 
di seluruh Malaysia bagi memantau dan menyelaraskan aktiviti saudara baru 
terutama pengurusan kebajikan mereka. 
 
18. Walaupun saya bersetuju bahawa kerja yang paling senang ialah memecat dan 
membangkang tetapi kalau ada makna dan isinya maka kita perlu bersikap berani 
untuk berubah. 
 
19. Dengan usaha-usaha ini, marilah kita berdoa agar diberikan kekuatan untuk 
menghadapi cabaran mendatang yang cukup serius dewasa ini.
 
Sumber :  http://yksnegerisembilan.com/archives/1310  

Kirim email ke