8 Ogos 8 2012 - Bagi mengurangkan kadar jenayah, pihak polis dicadangkan supaya 
membuat serapan tugas-tugas bahagian tertentu, termasuk anggota Cawangan Khas 
(SB) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke Bahagian Siasatan Jenayah (CID). 
 
Ini kerana, kata bekas pengarah CID Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari, beban tugas 
CID bertambah sehingga boleh mengganggu fokus pegawainya sedangkan SB dan FRU 
tidak memerlukan tugas yang rumit.
 
"Itulah pihak yang bertanggungjawab kena buat redeploymnet (penugasan semula). 
Kalau CID  (macam) sekarang, nampaknya tidak boleh tangani kerana siasatan 
terlalu banyak.
 
"Jadi kenapa tidak kita serapkan alihkan sebahagian daripada apa yang kamu 
sebut tadi, (antaranya) unit ketenteraman awam, FRU, pasukan lapangan dan polis 
marin (ke bahagian CID). 
 
"Ini kerana, (sebelum ini) mereka tidak membuat tugas yang memerlukan buka 
fail, banyak urusan tulis-menulis (dan) fokus kepada follow through 
investigation," katanya ketika diminta mengulas statistik penempatan polis 
terkini.
 
Menurut statistik 2011, sebanyak 5,050 ditempatkan ke SB, lebih 32,656  di 
bahagian keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam (termasuk FRU) dan 
hanya 9,346 untuk bahagian siasatan jenayah.
 
Hal demikian dipertikaikan oleh pembangkang yang menganggap agihan tersebut 
tidak seimbang dan kurang berkesan untuk mengurangkan kadar jenayah yang 
didakwa membimbangkan.
 
Dulu perlu CID dua kali ganda
 
Ketika diwawancara Malaysiakini baru-baru ini, Fauzi yang juga bekas ketua 
polis Selangor berkata,  tugas CID bukan senang dan mengambil masa yang panjang.
 
Malah, Fauzi berkata, pegawai CID juga berdepan pelbagai proses siasatan, 
antaranya mencari maklumat, mengesahkannya, merekod keterangan dan membawa 
saksi ke mahkamah sebelum menutup sesuatu kes.
 
"Setiap hari fail baru dibuka. Memang dalam CID, isu utama dalam polis ini 
adalah jenayah. Kalau kamu boleh berjaya, bukan sahaja selesai kes, tapi kamu 
boleh cegah statistik daripada kejadian itu meningkat. 
 
“Rakyat akan membuat satu persepsi bahawa polis berkesan (dan) berjaya 
(melaksanakan tugas)," katanya lagi.
 
Tegas Fauzi, pengalamannya pada 2005 dan 2006 semasa masih mengetuai jabatan 
mendapati, pihak polis memerlukan pertambahan dua kali ganda bagi menyiasat kes 
jenayah.
 
“Sekarang saya tidak berani (komen), hampir tujuh tahun tinggal dunia ini,” 
katanya.
 
Keperluan SB di suasana kurang perkauman
 
Mengulas dakwaan SB memberi fokus terhadap gerak kerja pembangkang dalam 
politik sehingga dianggap senjata kepada BN, Fauzi mengakui tugas mereka 
"menguruskan risikan dan maklumat".
 
“Kita kena hargai tugas polis. Memang polis Cawangan Khas, mereka melakukan 
intelligent procurement banyak kepada unsur-unsur politik dan ketenteraman 
awam,” katanya.
 
Bagaimanapun, Fauzi mempersoalkan keperluan jumlah SB sedia ada memandangkan 
suasana masyarakat sekarang telah berubah berbanding zaman komunis yang lebih 
“perkauman”.
 
“Kita kena akur, dulu lebih serius dan mengancam. Tapi sekarang, rakyat 
sekarang ini banyak berubah," katanya.
 
Bagaimanapun, katanya, sebarang penyusunan semula bagaimanapun memerlukan fakta 
yang jelas terlebih dahulu.
 
“Kecuali kita ada fakta yang jelas, kita boleh hujah balik, kita boleh bagi 
syor, OK, kamu boleh kurangkan (anggota SB) 15 peratus, atau 20 peratus, atau 
50 peratus. 
 
“Kita tidak tahu. Jadi apa yang kita boleh gesa, pihak pengurusan polis sendiri 
lebih arif dan lebih tahu, adakah suasana sekarang memerlukan sedemikian,” 
katanya dalam wawancara panjang di rumahnya di Shah Alam.
 
http://www.malaysiakini.com/news/205733  

Kirim email ke