Peniaga runcit dakwa kena lempang polis
9 Ogos 2012 
 
KLUANG - Seorang peniaga runcit terkejut dilempang pipi kiri oleh seorang 
anggota polis berpangkat Inspektor semata-mata kerana dia mempersoalkan mengapa 
rumahnya digeledah tanpa waran dalam satu kejadian di Kampung Haji Noor, Jalan 
Air Hitam, Machap, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.
 
Menurut Samsudin Seman, 56, sebelum kejadian, dia berada di kedai runcit 
miliknya sebelum dihubungi anaknya, Mohd Suhaimi, 31, mengatakan sekumpulan 
anggota polis datang dan menggeledah barang dalam rumah mereka.
 
"Saya terus pulang ketika sampai, saya lihat ada tujuh anggota polis berada 
dalam rumah dan menggeledah kediaman saya sehingga habis bersepah semua 
barang," katanya.
 
Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, Samsudin bertanya kepada salah 
seorang anggota polis itu sama ada mereka mempunyai waran berbuat demikian.
 
“Salah seorang daripada mereka memperkenalkan dirinya sebagai pegawai 
berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat. 
Menurutnya, dia tak perlukan waran untuk menggeledah kerana dia seorang 
pegawai," katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurutnya, lebih mengejutkan, apabila anaknya bertanya kepada pegawai polis 
berkenaan rumah siapa sebenarnya yang mereka cari, salah seorang daripada 
mereka terus memecahkan pintu salah satu bilik tidur kerana mengesyaki anaknya 
menyembunyikan sesuatu.
 
“Setelah puas kami bertanya soalan yang sama, barulah salah seorang daripada 
mereka memberitahu yang mereka sedang mencari rumah suspek bernama Taufik. 
Kemudian saya beritahu kepada mereka, dalam rumah ini tiada sesiapa pun yang 
bernama Taufik.
 
“Namun apa yang menyedihkan, sebaik berkata demikian, pegawai berpangkat 
Inspektor itu memanggil saya dengan perkataan kurang sopan dan secara tiba-tiba 
terus melempang pipi kiri saya tanpa sebarang sebab,” katanya.
 
Samsudin berkata, dia juga kesal kerana pegawai polis tersebut  hampir mahu 
menggari dan membawanya ke balai polis dengan alasan dia tidak mempunyai MyKad, 
sedangkan pada masa itu MyKadnya tertinggal di kedai kerana bergegas pulang ke 
rumah.
 
“Selepas kejadian tersebut, saya bersama-sama anak membuat laporan di Balai 
Polis Simpang Renggam. Saya turut membuat pemeriksaan doktor di Klinik Simpang 
Renggam, malah akan menyerahkan segala-galanya kepada peguam dilantik anak saya 
bagi menangani kes ini.
 
“Saya tiada niat langsung untuk membalas dendam, cuma tidak mahu pegawai polis 
berkenaan terus menyalahgunakan kuasanya kepada orang ramai,” katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/semasa/peniaga-runcit-dakwa-kena-lempang-polis-1.74748
 

Kirim email ke