9 Ogos 2012 - Rata-rata penduduk Felda Kenanga Jengka 7 dekat sini, kembali 
gusar dengan masalah ketiadaan bekalan air menjelang perayaan Hari Raya Aidil 
Fitri tidak lama lagi. Isu yang sudah puluhan tahun menghantui penduduk kini 
menjlema kembali walau pun berbagai ikhtiar dan usaha telah dilakukan oleh 
pihak yang berkenaan. 
 
Malah, lebih mengecewakan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang dulunya berada 
di bawah Kerajaan Negeri Pahang, kini sudah dikorporatkan menjadi Perbadanan 
Air Pahang Berhad (PAIP) sejak awal tahun ini, namun malangnya isu berkenaan 
tidak juga dapat diselesaikan sehingga ke hari ini. 
 
Apa yang mengejutkan senarionya lebih buruk daripada tahun-tahun sebelumnya. 
 
Menurut seorang penduduk yang tidak mahu namanya disiarkan kerana gusar 
dikenakan tindakan oleh Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Felda berkenaan 
berkata beliau terpaksa membeli tangki tambahan yang berharga hingga RM600 bagi 
persediaan menghadapi masalah ini. 
 
"Bayangkan, rumah kami pernah tiada air selama sebulan baru-baru ini. Kami 
sungguh sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sejak 40 tahun lalu, inilah 
masalahnya. Segala janji-janji yang ditaburkan oleh pihak berkenaan gagal dan 
kami terus menjadi mangsa .. menderita terutamanya ketika menjelang musim raya 
apabila anak-anak cucu mula pulang ke kampung. 
 
Malu rasanya, bila kejadian ini terus menimpa walau pun selepas lebih 50 tahun 
kita merdeka. Bila diajukan perkara ini kepada pihak atasan, kami diugut dengan 
berbagai-bagai tindakan. Akhirnya terpaksalah kami tanggung derita dan sengsara 
ini berterusan entah sampai bila agaknya. Mana janji kerajaan untuk bela nasib 
kami?", kata mangsa terbabit. 
 
"Jika dulu.. kami ada Wakil Rakyat untuk mengadu, tapi kini selepas beliau 
meninggal dunia nasib kami mungkin tidak lagi terbela. Tiada tempat lagi untuk 
kami mengadu. Alasan yang sama diberikan oleh pihak JBA dan kini PAIP.. bila 
ada wakil penduduk berjumpa mereka.. Kami terus hidup terseksa dan dirundung 
ketakutan senantiasa.. tambahan pula bila menjelang hari raya atau 
majlis-majlis kenduri kendara", kata beliau lagi dengan nada sungguh kecewa.
 
Sumber : 
http://pahangdaily.blogspot.com/2012/08/fobia-isu-air-menjelang-aidil-fitri.html
 
 
Krisis air semakin teruk
6 Ogos 2012
 
JENGKA 12 - Pemilik lapan rumah di Blok M dan N Felda Jengka 12 meminta pihak 
berwajib menyelesaikan krisis air dihadapi mereka berikutan keadaan semakin 
teruk setiap kali tiba bulan Ramadan.
 
Penduduk, Syarifah Fatimah Syed Abu Bakar, 66, berkata, kedudukan rumah mereka 
di kawasan tanah tinggi dijadikan alasan punca air paip sukar sampai ke 
kediaman mereka.
 
“Bukan tahun ini sahaja, malah keadaan itu berlaku sejak awal kemasukan ke 
tanah rancangan dahulu. Namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian.
 
“Kami menghadapi masalah ini sejak sekian lama. Namun setiap kali Ramadan tiba, 
masalah air didapati semakin teruk hingga menyukarkan penduduk menjalankan 
urusan harian,” katanya.
 
Dia berkata, air hanya dapat ditadah sekitar jam 12 tengah malam dan berhenti 
sekitar dua jam kemudian.
 
Menurutnya, lebih menyakitkan hati apabila bil air diterimanya lebih mahal 
berbanding penduduk kawasan lain.
 
“Bil air sekitar RM20 ke RM30 sebulan, sedangkan rumah yang menerima air 24 jam 
tanpa henti cuma membayar RM4 hingga RM6 sebulan. Ia tidak sepatutnya berlaku 
kerana saya duduk bersendirian,” katanya.
 
Abdul Molok Abdul Gani, 65, berkata, dia mengambil pelbagai inisiatif untuk 
mengatasi masalah itu termasuk membina tiga tangki dengan setiap satunya 
berharga RM320 dan memasang pam penggalak.
 
“Namun, itu semua tidak dapat menyelesaikan masalah air ini khususnya apabila 
tiba musim perayaan atau cuti panjang,” katanya.
 
Malah katanya, penduduk sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak atasan 
berhubung masalah tersebut, malahan perkata itu pernah disiarkan di sebuah 
rancangan televisyen.
 
“Kesudahannya, mereka datang menjalankan kerja baik pulih. Namun hanya bertahan 
untuk seketika kerana masalah ini berulang semula tidak lama selepas itu.
 
“Malah, mereka juga ada membina tangki dan pam penggalak. Namun saya dapati 
tangki dan pam itu seperti tidak berfungsi. Pembinaannya merupakan satu bentuk 
pembaziran,” katanya.
 
Mohd Farid Mohd Marzuki, 26, pula berkata, setiap kali dia dan adik-beradik 
lain pulang ke kampung, mereka akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan 
bekalan air.
 
“Kami pernah mandi dan menggunakan air di surau kerana air di rumah tidak 
mencukupi walaupun ditadah semalaman,” katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/krisis-air-semakin-teruk-1.73916 

Kirim email ke