Bagaimana suri rumah, warga emas hendak
membezakan antara polis sebenar dengan polis palsu, staf TNB sebenar
dengan staf TNB palsu, pegawai JKM sebenar dan pegawai JKM palsu?
Penjenayah di negara kita semakin hari semakin kreatif dan inovatif,
sedangkan usaha pencegahan jenayah oleh semua pihak masih di takuk
lama. 

‘Staf TNB’ kelar tangan suri rumah
25 Ogos 2012 

JOHOR BAHRU: “Ketika kami berbual
termasuk menyiasat aduan kerosakan meter elektrik di rumah, tiba-tiba
seorang daripada dua lelaki yang memakai pakaian seragam Tenaga
Nasional Berhad (TNB) mengugut dan meminta saya menyerahkan semua
barang kemas.

“Apabila saya menjerit meminta
tolong, lelaki itu mengeluarkan pisau dari pakaiannya dan mengelar
pergelangan tangan saya berulang kali,” kata suri rumah dikenali
sebagai Sundara, 39, menceritakan kejadian cubaan rompak di rumahnya
di Jalan Jelatang 22, Taman Megah Ria, Masai, di sini, semalam.

Ibu tiga anak itu berkata, kejadian
berlaku jam 4 petang apabila dia bersama anak perempuan sulungnya
berusia belasan tahun berada di rumah, manakala suaminya keluar
bekerja. Dua lagi anaknya berada di rumah saudara di kawasan
berhampiran.
Menurutnya, ketika itu, dia didatangi
dua lelaki memakai seragam TNB dan berpura-pura mahu memeriksa meter
serta bil elektrik rumahnya.

Katanya, secara kebetulan suaminya
membuat aduan kepada TNB berkaitan masalah pada meter elektrik.

Katanya, sebaik masuk dalam rumah, dia
terkejut apabila lelaki itu tiba-tiba mengugut mahu mencederakannya
sekiranya tidak menyerahkan barang kemas.

Terkejut dengan permintaan lelaki
terbabit, katanya, dia menjerit meminta tolong sebelum lelaki itu
bertindak agresif dengan mengelar pergelangan tangan kanannya.
“Melihat kejadian itu, anak perempuan saya lari ke tingkat atas dan
mengunci pintu sementara saya melarikan diri dengan keluar dari rumah
dan menjerit meminta bantuan jiran.

“Dua lelaki itu yang cemas melarikan
diri,” katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Regency
di Masai di sini, sebelum membuat laporan di Balai Polis Masai di
sini, petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis
Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abd Hamid mengesahkan
kejadian itu.

“Kami masih menyiasat kejadian itu
dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik kumpulan
penjenayah. “Bagi mengelak kejadian tidak diingini, orang ramai
boleh menghubungi TNB bagi mendapatkan kepastian sebelum membenarkan
pemeriksaan meter di rumah mereka,” katanya ketika dihubungi,
semalam. 

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012082502125120120825021251/Article/index_html
 

Kirim email ke