Negeri Sembilan adalah negeri pertama di Tanah Melayu memulakan penentangan 
terhadap penjajah Inggeris bermula dengan kebangkitan Dato Dol Said di Naning 
pada tahun 1831. Shamsiah Fakeh anak kelahiran Negeri Sembilan mempunyai 
sejarahnya tersendiri dalam perjuangan politik dan gerakan kemerdekaan tanahair.
 
Semua ini , dan beberapa fakta lain mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan 
yang jarang sekali diketengahkan terdapat dalam buku Politik Kebangsaan di 
Negeri Sembilan, disusun oleh : Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri 
Sembilan, boleh dimuat turun dari laman web http://malaycivilization.ukm.my/ 
 
Negeri Sembilan adalah negeri pertama di Tanah Melayu memulakan penentangan 
terhadap penjajah Inggeris bermula dengan kebangkitan Dato Dol Said di Naning 
pada tahun 1831.  Sekitar tahun 1511 – 1784 penentangan terhadap penjajah hanya 
tertumpu di Melaka. 
 
Dalam beberapa siri penentangan terhadap penjajah yang dilakukan oleh 
pembesar-pembesar Melayu di Negeri Sembilan pada era permulaan ialah :
Dato Dol Said di Naning (1831/1832)
Dato Sedia Raja, Nganit, Undang Luak Rembau (1831/1832)
Dato Katas, Dato Muda Linggi (1832)
Dato Shahbandar Tunggal di Sungai Ujong (1874)
Dato Siamang Gagap di Seri Menanti (1874)
Dato Haji Sail di Rembau (1878)
Bilal Ismail di Jelebu (1880) 
 
Dato Nganit, Undang Luak Rembau meninggal dunia di Chengkau pada tahun 1838 
dengan kehilangan Tampin sebagai wilayahnya, disebabkan keputusan menentang 
campur tangan Inggeris di Rembau. 
 
STRATEGI PENJAJAH
 
Negeri-negeri Melayu jatuh ke tangan Inggeris melalui strategi yang licin serta 
berkesan. Mereka melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’ bagi menguasai 
orang-orang Melayu yang sentiasa patuh kepada perintah ketua. Negeri Sembilan 
yang mengamalkan adat pepatih paling mudah diperangkap, apabila ada di kalangan 
pembesarnya bersedia menerima tawaran penyandang pesaka. 
 
Disebabkan Dato Haji Sahil menentang segala muslihat Inggeris di bumi Rembau, 
maka beliau dipecat dalam tahun 1883, dan digantikan oleh Seri bin Sidin 
menyandang pesaka Undang Luak Rembau. Setelah Inggeris berjaya menggantikan 
orang yang pro kepadanya, maka dalam tahun 1887 dapatlah dibuat persetiaan yang 
membolehkan Rembau secara rasmi menjadi jajahan naungan Inggeris. 
 
Kepintaran Inggeris melaksanakan dasar-dasar penindasannya secara diplomasi 
memang tidak dirasakan oelh orang-orang Melayu. Semenjak campur tangan mereka 
di Naning hinggalak kepada perjanjian membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu 
tahun 1895 dengan kuasa di tangan British Residen, orang-orang Melayu tetap 
menerimanya dengan senang hati. 
UNDANG REMBAU
 
Dato Abdullah meninggal dunia dalam usia masih muda ketika berusia 38 tahun. 
Beliau meninggal dunia bukan sahaja memperjuangkan nasib bangsa Melayu di Luak 
Rembau, malah meliputi seluruh Tanah Melayu. 
 
YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN
 
Tuanku Muhammad menaiki takhta pada tahun 1888. Melalui desakan baginda bersama 
rakan-rakannya akhirnya Inggeris terpaksa menubuhkan Askar Melayu pada tahun 
1933. Baginda juga memberi sokongan moral kepada penubuhan sekolah-sekolah 
agama rakyat (Pondok) di Kuala Pilah. Sekali pun gerakan pondok di Kuala Pilah 
tidaklah mencabar pemerintah Inggeris, tetapi sedikit sebanyak menjadi 
pendorong kepada kebangkitan awal semangat kebangsaan di Negeri Sembilan. 
 
SHAMSIAH FAKEH
 
Terdidik dalam pengajian agama di Padang, Sumatera sebelum menyertai MAZHAR 
AL-ULUM iaitu pusat pengajian pondok Tuan Guru Maadah di Negeri Sembilan. Oleh 
itu apabila beliau kembali ke Kuala Pilah tahun 1939 memasuki sekolah agama 
berkenaan, Shamsiah terus memasuki kelas Tahun Dua. Dilahirkan di Kampung 
Parit, Kuala Pilah dalam tahun 1923.
 
Penglibatannya dalam politik lebih serius selepas tahun 1946. Beliau menyertai 
Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Mohd 
Noor, Ishak Hj Muhamad dan Ahmad Boestamam. Sayap wanita PKMM dikenali sebagai 
Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh sendiri. Di 
antara tokoh-tokoh yang memimpin AWAS ketika itu ialah Aishah Ghani (bekas 
Menteri Kebajikan Masyarakat) dan Aishah Hussein (isteri Allahyarham Pak Sako). 
Sebagai pemimpin AWAS kedudukan Shamsiah dalam politik tanahair ketika itu 
sebaris dengan Dato Onn Jaafar. 
 
Shamsiah masuk ke hutan meneruskan perang gerila apabila Inggeris 
mengisytihatkan darurat pada 13 Jun 1948 dengan menahan ramai pemimpin PKMM dan 
API di bawah Akta ISA. 
 
Oleh itu disamping perjuangan secara perlembagaan menuntut kemerdekaan yang 
dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman, perjuangan gerila ini juga salah satu sebab 
mengapa Inggeris bersedia memberikan kemerdekaan. Sejarah perjuangan Shamsiah 
Fakeh tetap terukir, sekali pun ada golongan cuba menolaknya. Shamsiah Fakeh 
anak kelahiran Negeri Sembilan mempunyai sejarahnya tersendiri dalam perjuangan 
politik dan gerakan kemerdekaan tanahair. Sekalipun penglibatannya tidaklah 
boleh dikaitkan dengan gerakan pondok Lebai Maadah, tetapi pencapaian Shamsiah 
Fakeh dalam politik di zamannya mempunyai banyak makna kepada sekolah agama 
berkenaan. 
 
Sumber rujukan :
http://malaycivilization.ukm.my/idc/groups/portal_aperpatih/documents/ukmpd/adat_03592.pdf
 

Kirim email ke