29 Ogos 2012 , KUALA LUMPUR – Kira-kira 40 peniaga di Kawasan Perindustrian 
Taman City, Segambut di sini terpaksa menjalankan perniagaan menerusi 
celah-celah jeriji kedai demi keselamatan nyawa mereka.
 
Mereka yang merupakan peniaga alat ganti kenderaan di Jalan Selingsing di sini 
terpaksa berbuat demikian berikutan peningkatan kes jenayah samun bersenjata di 
kawasan itu sejak dua bulan lalu yang adakalanya sampai empat kes dalam sehari.
 
Tinjauan Kosmo! mendapati setiap peniaga berada dalam keadaan berwaspada dan 
akan melihat ke luar pintu kaca dan jeriji premis perniagaan setiap kali mereka 
ternampak kelibat orang yang lalu di hadapan kedai mereka.
 
Seorang pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 40, berkata, dia 
kini terpaksa menjalankan perniagaan dengan mengunci pintu jeriji kerana masih 
trauma dengan kejadian disamun pada 26 Jun lalu.
 
“Kedai saya diserang tiga lelaki yang bersenjatakan parang kira-kira pukul 5.30 
petang dua bulan lalu ketika saya hendak menutup kedai.
 
“Mereka langsung tidak takut walaupun kegiatan jenayah itu dilakukan pada siang 
hari malah mereka menyamun tiga buah lagi kedai lain selepas berjaya melarikan 
RM6,000 dari kedai saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
 
Jelasnya, keadaan jenayah di kawasan itu sangat teruk berbanding dua tahun lalu.
 
“Jika sebelum ini hanya jenayah ragut dilaporkan berlaku namun kini penjenayah 
berani menyamun premis perniagaan,” ujarnya.
 
Menurutnya, bukan sahaja golongan peniaga, malah pekerja di kawasan tersebut 
turut disamun dan diragut ketika mereka pergi dan pulang daripada bekerja.
 
“Perniagaan saya terjejas teruk apabila saya nekad berniaga dengan keadaan 
pintu kedai berkunci bagi mengelakkan disamun buat kali kedua.
 
“Jumlah pelanggan pula semakin kurang kerana siapa yang mahu membeli barang 
dari kedai yang berkunci kerana mereka perlu memilih dan melihat barangan yang 
diperlukan,” ujarnya.
 
Beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang yang terletak 
kira-kira 4.1 kilometer dari taman itu pada hari kejadian.
 
Seorang lagi peniaga alat ganti jentera berat, Ng Chee Heng, 40, berkata, dia 
terpaksa berniaga dengan mengunci pintu kaca kedainya demi keselamatan.
 
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0829&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm
 

Kirim email ke