BERMULA November 2007, guru-guru Sekolah Menengah Agama
Negeri Terengganu (SMAN Terengganu) telah menerima tawaran pertukaran
pelantikan menyertai Kementerian Pelajaran melalui opsyen, hasil daripada
memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelajaran
melalui program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
 
Hampir 98 peratus guru SMAN Terengganu menerima tawaran
tersebut dengan perasaan yang berbeza-beza. Ada yang menerimanya dengan senang 
hati
kerana ingin bernaung di bawah payung yang lebih besar, yang memungkinkan
peluang kenaikan pangkat lebih luas. 
 
Ada
yang seperti "pucuk dicita, ulam mendatang", iaitu Guru Sandaran
Tidak Terlatih (GSTT) yang ditawarkan jawatan tetap.
 
Sementara satu kumpulan yang lain ialah kumpulan yang
mempunyai perasaan yang berbelah-bahagi iaitu sebilangan besar guru tetap yang
telah lama berkhidmat di bawah kerajaan negeri.
 
Mahu tidak mahu mereka turut menerima tawaran pertukaran
pelantikan tersebut ekoran daripada kata-kata seorang 'pegawai' dari pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang kononnya pihak kerajaan negeri tidak
berminat lagi untuk menguruskan hal ehwal SMAN.
 
Sekarang sudah hampir tiga tahun kami berada di bawah
pentadbiran Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia.
Harapan kami yang menggunung tinggi sebelum ini beransur-ansur menjadi landai.
 
Ini kerana perkara-perkara yang dijanjikan semasa pertemuan
dengan pegawai dari Kementerian Pelajaran lima
tahun lalu masih belum jadi kenyataan. 
 
Kalau sebelum ini kami diberi jaminan tidak akan ditukarkan
tanpa persetujuan, semuanya kini hanya janji kosong.
 
Pada 2010, berlaku pertukaran besar-besaran melibatkan guru
tetap yang telah lama berkhidmat.
 
Lebih malang,
ramai yang diarahkan bertukar keluar daerah yang jaraknya melebihi 50
kilometer. Alasannya sekolah berkenaan terlebih guru, sedangkan pada masa sama
pihak kementerian telah membawa masuk guru-guru mereka ke Sekolah Menengah
Agama tersebut. Ini tidak akan berlaku sekiranya kami masih berada di bawah
pentadbiran kerajaan negeri (hanya berlaku jika ada kesalahan tatatertib). 
 
Selain itu, soal pelarasan gaji dan kenaikan pangkat yang
dijanjikan pun masih belum dapat diselesaikan oleh pihak BPI. Pihak Jabatan
Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah pula mula mencari peluang untuk
menggunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di SMAN. 
 
Sekolah-sekolah menengah agama negeri sekarang ini bagaikan
sebuah kapal yang mempunyai dua nakhoda. Pihak sekolah terpaksa mengikut
program yang dianjurkan oleh kedua-dua pihak. 
 
Sebagai contoh, kami mempunyai/menyertai program sukan
Sekolah Agama Negeri (MASMAT), dan pada masa yang sama kami juga diminta
menyertai sukan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (MSSMT). Ini memberi beban
kepada pelajar dan guru yang terlibat kerana terpaksa menghabiskan masa untuk
menyertai dua acara sukan yang sepatutnya boleh dijadikan satu. 
 
Sesetengah pengetua pula dilihat lebih bersifat menjaga
'tengkuk' sendiri apabila hanya memperjuangkan kedudukan serta pangkat mereka
apabila berurusan dengan pihak BPI. Bagaimanakah dengan kedudukan dan kenaikan
pangkat guru-guru SMAN Terengganu yang masih tidak berkesudahan ini? 
 
Sehubungan itu diharap pihak yang bertanggungjawab agar
dapat memberi perhatian yang serius terhadap dilema para guru SMAN Terengganu
demi memartabatkan kecemerlangan pendidikan di sekolah menengah agama negeri
Terengganu ini.
 
GURU DILEMA
Terengganu
 
http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120927/fo_02/Dilema-guru-Sekolah-Menengah-Agama-negeri-Terengganu
 

Kirim email ke