Legoland begitu bersungguh-sungguh untuk mempromosi orang
datang melawat tempat mereka termasuk mereka yang OKU. Malang sekali masih 
banyak masjid-masjid di
Malaysia masih belum mesra OKU.
 
Legoland mesra OKU
8 Oktober 2012 
 
JOHOR BAHRU -  Taman
tema Legoland Malaysia
bukan sahaja sebagai lokasi riadah keluarga pertama seumpamanya di Asia, malah
ia juga mesra orang kurang upaya (OKU) dengan ciri-ciri kemudahan bertaraf
dunia.
 
Pengurus Veritas Arkitek Sdn Bhd cawangan Johor, Shah Jaffar
berkata, kemudahan buat OKU antara yang dititikberat syarikat tersebut yang
diberi amanah merekabentuk, menjadi perunding hiasan dalaman dan landskap bagi
projek mega RM720 juta itu.
 
“Kemudahan untuk golongan yang kurang upaya di Legoland ini
menjadi penanda aras buat projek pembangunan lain untuk mengaplikasikan
kemudahan yang sama seperti yang dibangunkan di sini.
 
“Hampir dua hingga lima
peratus daripada  bajet reka bentuk ini
difokuskan untuk kemudahan OKU seperti menyediakan laluan pejalan kaki, papan
tanda  braile, tac tiles, dan pelbagai
kemudahan lain.
 
“Kami amat peka dengan keperluan OKU kerana salah seorang arkitek
yang terlibat dalam pembangunan projek ini juga seorang OKU,” katanya kepada
pemberita sempena ulang tahun ke-25 syarikat terbabit, di sini, Khamis lalu.
 
Shah berkata, kejayaan menyediakan kemudahan ‘barrier free’
buat OKU di Legoland juga menjadi rujukan untuk pembangunan dua projek sekolah
menengah pendidikan khas yang bakal dibangunkan syarikat tersebut di Pulau
Pinang dan Kedah.
 
Projek sekolah yang bakal dibina sebelum hujung tahun ini
kini di peringkat rekaan pelan dengan nilai pembangunan RM50 juta setiap satu.
 
“Kita anggarkan dapat memulakan projek sekolah khas ini
dalam tempoh terdekat dengan perangkaan pembinaan selama 18 bulan untuk
disiapkan di atas tanah tujuh ekar (2.8 hektar).
 
“Kebanyakan pemaju kurang menitikberatkan soal penyediaan
kemudahan OKU kerana mengandaikan ia sesuatu perkara yang remeh dan memerlukan
kos yang tinggi, kerana kelengkapan prasarana bagi golongan itu 10 kali lebih
mahal,” katanya.
 
Shah berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat
yang mempunyai beberapa cawangan di luar negara itu, seramai 25 kanak-kanak
kurang upaya dari Taman Sinar Harapan Johor Bahru akan dibawa ke Legoland pada
24 Oktober depan.
 
“Mereka akan cuba
sendiri kemudahan OKU yang disediakan di Legoland sekali gus beri peluang untuk
berseronok buat mereka,” katanya.
 
- Sinar Harian 

Kirim email ke