KUALA LUMPUR 6 November 2012 : Kempen
Anti Saman Ekor (Kase) mendedahkan kelemahan terbaru saman Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan terutama di lokasi
kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi
Shariff berkata, kamera AES di lebuh raya tersebut keliru dan celaru
apabila menangkap kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) sedangkan had
laju di situ adalah 90 kilometer sejam.

“Salah satu saman yang diterima
adalah di kilometer 6.6 SKVE, menunjukkan pemandu terbabit melakukan
kesalahan Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, atas kesalahan
gagal mematuhi isyarat lalu lintas dan had laju yang ditetapkan 80 km
sejam.

“Padahal menurut laman web JPJ
(Jabatan Pengangkutan Jalan), had laju yang ditetapkan di sana adalah
90 km/j,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Menurut Zulhazmi, Pengarah Penguatkuasa
JPJ, Jaafar Mohamed dalam laman web JPJ menjelaskan, kamera AES
dilengkapi sistem ‘speed limit buffer’ (lonjakan had laju).

“Maknanya, di tempat had laju 90
km/j, pemandu hanya akan disaman jika pandu lebih 100 km/j.

“Tetapi dinyatakan (menurut surat
saman yang ditunjukkan) bukan lonjakan, sebaliknya pengurangan had
laju,” kata beliau.

Ekoran itu, Zulhazmi berkata, Kase akan
menyediakan khidmat guaman kepada pemandu yang disaman yang tampil
kepada mereka.

“Kita sedia lawan di mahkamah, atau
(kalau perlu) saman JPJ kerana menipu,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi
Kase, Datuk Mahfuz Omar turut menyeru pemandu yang disaman tidak
menerima tawaran kompaun terhadap saman AES.

“Kompaun tidak wajib bayar. Bawa kes
ini ke mahkamah juga bukan bermakna kita lawan undang-undang, tetapi
sebaliknya ikut proses undang-undang,” kata Ahli Parlimen Pokok
Sena itu.

http://www.keadilandaily.com/?p=38973 

Kirim email ke