16 Nov 2012 : Seorang wanita, Hayati Senin, 46, hidup
melarat di belakang sebuah rumah di Taman Nam Seng, Bachang, Melaka di sini,
dengan berteduh di khemah kanvas yang didirikan sejak 2004. 
 
Dia mendapat ihsan seorang penduduk taman itu yang
bersimpati dan memberi kebenaran kepadanya mendirikan khemah di tanah miliknya.
“Saya kini menampung hidup dengan mencari barangan terpakai sambil menaiki
basikal buruk. Kadangkala, saya mengambil upah sebagai pembantu rumah demi
sesuap nasi kerana tidak lagi mampu melakukan kerja berat.
 
“Ia berikutan doktor mengesahkan saya mengalami masalah
arthritis di kedua-dua lutut yang menyebabkan tubuh tidak boleh banyak
bergerak,” katanya di sini, semalam.
 
Menurutnya, tambah menyedihkan apabila dia kini hanya
menunggu masa diusir oleh pihak berkaitan selepas tuan rumah menerima notis
supaya mengosongkan kawasan itu kerana tempat tinggalnya didakwa mencacatkan
pemandangan.
 
Kata Hayati, dia mungkin kehilangan tempat tinggal pada
bila-bila masa selepas tempoh diberikan tamat pada 26 Oktober lalu dan masih
memohon melanjutkan tempoh itu.
 
“Saya buntu memikirkan di mana saya mahu tinggal jika diusir
dari sini selepas permohonan mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan masih
gagal kerana diminta mengemukakan slip bayaran upah pekerjaan.
 
“Semua itu tidak diterima kerana segala barang terpakai yang
dijual tidak disertakan dengan sebarang dokumen pembayaran sekali gus
menyebabkan segala usaha berkenaan terbantut sehingga kini,” katanya.
 
Dia yang hidup sebatang kara hanya mengharapkan ada pihak
sudi tampil membantu dirinya.
 
Sementara itu, tuan rumah yang hanya mahu dikenali sebagai
Baba, 50, berkata dia menemui wanita itu di sebuah pusat beli-belah di Ayer
Keroh, dekat sini, dalam keadaan menyedihkan dan tiada tempat tinggal.
“Bersimpati melihat keadaan itu, saya mempelawa dia tinggal di rumah saya,
tetapi hanya di belakang rumah kerana bimbang menjadi ‘buah mulut’ orang
ramai,” katanya.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penghunikhemah/Article/index_html 

Kirim email ke