16 Nov 2012 –
Penantian lima tahun seorang suami untuk menimang cahaya mata sulung musnah
apabila kembar perempuan dalam kandungan isterinya didakwa hilang secara
misteri pada Isnin lalu.
 
Kejadian tidak diduga itu didakwa menimpa Norliana Manaf,
28, semasa dia bermimpi ketika dia tidur di rumah ibunya, Che Som Endut, 57, di
Kampung Kelut, Jabi di sini malam kelmarin.
 
Lebih mengejutkan, rekod pemeriksaan bulanan kandungannya di
Klinik Kesihatan Bukit Jambul, Pulau Pinang turut dipercayai hilang pada malam
yang sama.
 
“Pada malam berkenaan, saya bermimpi lima wanita berjubah mendekati saya sambil
membacakan sesuatu sebelum mereka hilang selepas azan Subuh berkumandang.
 
“Apabila terjaga, saya mendapati perut yang selama ini besar
dan berat, tiba-tiba berasa ringan dan kempis. 
 
“Saya mula syak ada benda yang tidak kena berlaku lalu
mengejutkan suami saya, Aziz Hussein untuk memberitahu apa yang berlaku.
 
“Apabila saya pergi ke Klinik Kesihatan Pokok Sena untuk
tujuan pemeriksaan pada kira-kira pukul 9 pagi esoknya, bayi dalam kandungan
saya disahkan sudah hilang. Saya
hanya mampu menangis,” cerita Norliana kepada pemberita di sini semalam.
 
Dia yang tinggal di Bukit Jambul, Pulau Pinang, dijadual
bersalin pada 3 November lepas.
 
Berikutan itu, dia mengambil keputusan untuk tinggal di
rumah ibunya sejak sebulan lalu untuk tujuan bersalin.
 
Menjelaskan lebih lanjut, Norliana berkata, suaminya yang
berusia 27 tahun telah membawanya membuat ujian pengimbasan di Klinik Kesihatan
Bukit Jambul sebelum ini yang memaklumkan dia mengandung kembar perempuan.
 
“Bagaimanapun semasa kakitangan Klinik Kesihatan Pokok Sena
menghubungi Klinik Kesihatan Bukit Jambul untuk mengesahkan dakwaan saya itu,
mereka dimaklumkan bahawa rekod tersebut telah hilang,” ujarnya.
 
Norliana turut dibawa menemui pengamal perubatan tradisional
oleh keluarga dua hari lalu untuk mendapat kepastian mengenai kejadian itu.
 
“Mereka memaklumkan perkara sama seperti doktor iaitu anak
saya hilang dalam kandungan," katanya.
 
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
 

Kirim email ke