7 Dis 2012 , TELOK
KEMANG – Percutian seorang pemuda di Pantai Telok Kemang, di sini bertukar
tragedi apabila kakinya tercucuk besi konkrit ketika mandi, dipercayai sisa
bahan binaan longkang di sekitar kawasan pantai berkenaan, petang kelmarin.
 
Difahamkan akibat
kejadian itu, mangsa, Nur Khamisi Ahmad, 26, yang datang dari Muar, Johor itu,
cedera di bahagian tumit kanan dan dibawa ke Unit Rawatan Kecemasan Hospital
Port Dickson oleh anggota penyelamat.
 
Pegawai Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Port Dickson, Omar Hashim berkata, pihaknya
menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.28 petang.
 
Menurutnya,
mangsa ditemui sepasukan anggota JPAM yang ketika itu sedang melakukan rondaan
di Pantai Telok Kemang.
 
“Bantuan segera
dilakukan. Bagaimanapun berlaku sedikit kekangan untuk menyelamat kerana
kejadian itu berlaku dalam air dengan kedalaman hampir ke paras pinggang iaitu
kira-kira 30 meter daripada kawasan darat,” katanya.
 
Omar berkata,
selain JPAM, anggota dari Pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang turut
bergegas ke lokasi.
 
“Anggota
penyelamat turut menyelam bagi mengenal pasti sejauh mana kecederaan yang
dialami mangsa dan beberapa usaha dilakukan untuk memotong besi tersebut, namun
menemui kegagalan.
 
“Akhirnya anggota
penyelamat terpaksa menarik kaki mangsa memandangkan mangsa tidak boleh
dibiarkan terlalu lama dalam air kerana cedera,” katanya.
 
Beliau berkata,
pasukan penyelamat mengambil masa hanya beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa
dari tempat kejadian dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
 
Katanya,
sepanjang tahun ini, ini adalah kejadian kali pertama membabitkan kecederaan
terkena besi konkrit berkenaan.
 
“Sebelum ini,
JPAM sering menerima aduan kecemasan berikutan kecederaan ringan pengunjung
yang terkena mata kail pemancing, kayu, serpihan kaca dan sampah,” katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kaki-tertusuk-besi-konkrit-1.110537
 

Kirim email ke