Luluh hati ibu
10 Dis 2012 
 
SEREMBAN:
Keseronokan tujuh sekeluarga mandi-manda di sebuah taman tema di Rembau,
berakhir tragedi menyayat hati apabila seorang daripada mereka ditemui lemas
dipercayai tergelincir di dalam terusan yang mengelilingi kolam, semalam.
 
Dalam kejadian
kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Putra Syakirin Ahmad Syahir, 6, maut
dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.
 
Ibunya, Mushitah
Zahari, 26, berkata, dia bersama suami, ibu serta adik-beradik lain pergi ke
taman tema itu untuk mandi.
 
“Tiba-tiba, kami
menyedari ‘Bobob’ (Mohd Putra) hilang sebelum dikejutkan dengan teriakan budak
lemas oleh orang ramai. “Namun, saya tidak menjangkakan yang lemas itu anak
sulung sehinggalah saya melihat petugas taman tema itu mengangkat seorang budak
yang memakai seluar sama seperti anak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik
HTJS, di sini, semalam. 
 
Mushitah yang
bekerja di sebuah hotel di Port Dickson berkata, itu kali pertama dia dan
suami, Ahmad Syahir Abd Aziz, 26, membawa anak mereka ke situ dan tidak
menyangka percutian itu berakhir dengan tragedi.
 
“Hancur luluh
hati sebaik melihat itu adalah anak lelaki saya dan bergegas meminta bantuan
daripada pihak pengurusan taman tema itu. “Ketika itu anak saya masih bernyawa
berikutan ada air terkeluar daripada mulutnya dan kedengaran nafasnya, saya
terus meminta penyelamat yang berada di situ untuk membuat pernafasan mulut ke
mulut, tetapi tiada siapa pun tahu melakukannya,” katanya. 
 
Menurutnya, dia
percaya, anaknya berkemungkinan tergelincir ke dalam terusan kolam itu dan
jarak antara tempat kejadian dengannya hanya 50 meter. “Sebaik sedar tiada
bantuan dapat diberikan, saya dan suami kemudian membawa anak ke sebuah klinik,
tetapi mereka tidak berani untuk merawatnya sebelum suami bergegas memecut
kereta menghala ke HTJS,” katanya. 
 
Mushitah berkata,
bagaimanapun, dalam perjalanan ke HTJS, anaknya sudah tidak bernyawa dan
disahkan meninggal dunia kira-kira 3.30 petang.
 
“Saya kesal dengan
pihak pengurusan taman tema itu, sepatutnya mereka menyediakan penyelamat yang
tahu asas menyelamatkan orang lemas. “Malah, sekiranya rawatan awal diberikan,
berkemungkinan anak saya masih dapat diselamatkan, bagaimanapun saya reda
dengan kehilangannya dan menganggap ajalnya sudah tiba,” katanya. 
 
Jenazah Mohd
Putra dijangka akan dikebumikan di kampung halaman Mushitah di Kedah, hari ini. 
 
Sementara itu,
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi
mengesahkan menerima laporan kejadian kes itu.
 
Sumber: Harian Metro
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012121004282520121210042825/Article 

Kirim email ke