3 Jan 2013 - Negeri Sembilan telah melahirkan ramai tokoh
yang berjuang ketika negara berada di dalam zaman penjajah terutamanya Inggeris
dan Jepun. Malangnya nama mereka hilang daripada sejarah N.Sembilan di mana
tidak ada satu usaha pun yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui agensinya
untuk mengumpulkan sejarah mahupun maklumat mengenai pejuang-pejuang anak 
N.Sembilan
yang telah berjuang menentang penjajah sehingga sanggup mengorbankan dirinya.
 
Bagi menampung kekosongan koleksi tokoh pejuang Negeri
Sembilan, kami mengambil inisiatif mengumpulkan beberapa tokoh yang tidak
pernah diberi perhatian terutamanya mereka yang mempertahankan tanah air. 
 
Baru-baru ini,
kami menerima panggilan telefon di mana kami telah dikejutkan satu maklumat
mengenai Kapten Yazid Ahmad. Sahabat kami di Singapura telah menemui dimanakah
tugu peringatan yang terpahat nama Kapten Yazid Ahmad.
 
Siapa dia Kapten
Yazid Ahmad?
 
Kapten Yazid
dilahirkan di Kampung Linggi, Negeri Sembilan. Beliau bertugas sebagai
guru. Di SITC, beliau telah menganggotai Federated Malay States Volunteers
Force. 
 
Ketika Tanah Melayu diserang oleh tentera Jepun, beliau
telah ditugaskan untuk mempertahankan Singapura. Kapten Yazid Ahmad telah
berjaya ditawan oleh tentera Jepun. 
 
Beliau
bersama-sama 6 orang pegawai Melayu telah diberikan 2 pilihan bagi mengelakkan
mereka dibunuh. 
 
Pilihan pertama
ialah menyertai tentera Jepun sebagai Pegawai Tentera Jepun manakala pilihan
kedua pula ialah tanggal pakaian tentera dan pangkat mereka di mana mereka
perlu meninggalkan Singapura yakni pulang ke kampung. 
 
Mereka telah
menolak kedua-dua pilihan tersebut bagi mempertahankan maruah mereka sebagai
pejuang Tanah Melayu. Oleh kerana kedegilan mereka, tentera Jepun telah
menjatuhkan hukuman bunuh ke atas semuanya pada awal pagi 28hb Februari 1942.
 
Diantara yang dibunuh ialah Kapten Raja Aman Shah, Kapten
Yazid bin Ahmad, Leftenan Dato’ Othman Kering (YTM Undang Naning), Leftenan
Ariffin, Leftenan Wahid dan lain-lain bersama tawanan lain. 
 
Demi maruah dan semangat perjuangan, mereka sanggup dibunuh
daripada membiarkan diri mereka diinjak-injak oleh tentera Jepun. Menurut
maklumat awal, kami dimaklumkan bahawa mereka telah dibunuh di Beduk Hill,
Singapura dengan menggunakan Anti-Air Craft Gun.
 
Kami sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut
mengenai perjuangan mereka untuk tatapan generasi yang akan datang.
 
Kami tidak pasti
apa yang berlaku di Negeri Sembilan. Kadangkala kita hanya syok sendiri dengan
apa yang kita lakukan. Apa yang diucapkan tidak sama yang dilakukan. Adakah
individu yang bertanggungjawab tidak memahami apa yang perlu dilakukan atau
memang tidak tahu apakah tanggungjawab mereka. Selama ini kita hanya
memperjuangkan adat tanpa menyedari bahawa banyak lagi aspek sejarah Negeri
Sembilan yang boleh ditonjolkan.
 
Sebagai contoh,
setiap tahun ketika menyambut Bulan Kemerdekaan, kita hanya disogokkan dengan
pameran komunis. Adakah hanya komunis yang mengancam keselamatan negara kita?
Bagaimana dengan pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu?
 
Negeri Sembilan
tidak kurang dari segi tokoh pejuang negara. Tidak ada usaha mencari tokoh yang
berjaya di dalam bidang masing-masing dijalankan secara terancang dan teratur. 
 
Apa yang berlaku,
kita hanya memperlihatkan tokoh yang sama seperti Pendita Za’ba. 
 
Kita tidak pernah
mengkaji secara terperinci mengenai Aminudin Baki. Apakah kaitan beliau dengan
Negeri Sembilan? Malah, Kapten Yazid Ahmad, Pendita Za’ba dan Aminudin Baki
mempunyai hubungan kekeluargaan yang amat rapat. Tiada siapapun yang
menyedarinya.
 
Jika dilihat dari
sudut ketenteraan pula, terdapat 2 orang anak Negeri Sembilan yang terlibat
secara langsung di dalam penubuhan Rejimen Askar Melayu iaitu Yang DiPertuan
Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad dan Undang Luak Rembau, YTM Dato’
Abdullah Dahan. 
 
Kami percaya
tidak ramai yang mengetahui sejarah dan peristiwa bagaimana YTM Dato’ Abdullah
Dahan bersama-sama pembesar Rembau telah melawat negara Jepun bagi mempelajari
bagaimana menubuhkan pasukan tentera.
 
Kami tidak faham
bagaimana agensi yang bertanggungjawab menjalankan tugas. Ia seumpama tukul dan
pahat. Apabila ditegur, barulah tugas dilaksanakan. Kami tersenyum apabila
dimaklumkan pihak berkenaan akan membuat kajian mengenai Sarjan Hassan setelah
sekian lama kami mencadangkannya.
 
Kini semuanya
terserah kepada kerajaan negeri bagaimana untuk menengahkan dan mengumpul
sejarah tokoh Negeri Sembilan yang pernah berjasa demi anak bangsa mereka dan
tanah air. 
 
Kami hanya mampu
mengumpulkan maklumat yang ada berdasarkan kemampuan kami. Kami pernah menulis
isu ini beberapa kali. Agak malang tidak ada tindakan yang diambil. Mungkin
kita terlupa atau terlepas pandang. Oleh yang demikian, kami mengambil
keputusan untuk meletakkannya untuk bacaan bersama.
 
Butakah kita 
oleh Waris Linggi
dari laman web Nagari Nan Tuo
http://www.nagarinantuo.com/?p=2372 

Kirim email ke