Sepatutnya PDRM menjaga ketenteraman
awam. Membela agama, bangsa dan negara. Setiap anggota polis yang
berpakaian seragam lengkap termasuk anggota polis yang bukan beragama
Islam harus ingat, di kepala mereka ada lambang PDRM yang dengan
jelas tertera Kalimah ALLAH dan Muhammad.

8 Jan 2013

SHAH ALAM – Majlis tertutup untuk
meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis berpangkat rendah
daerah ini yang akan bertukar dicemari insiden memalukan apabila tiga
lelaki yang memakai pakaian dalam wanita melakukan aksi tarian
separuh bogel Jumaat lalu.
Kejadian itu mengejutkan warga polis
Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam kerana difahamkan
persembahan yang sepatutnya diadakan di sebuah hotel terkemuka di
Selangor itu berbentuk tarian tradisional.
Bertemakan Majlis Malam Mesra, Sekalung
Budi, Segunung Intan, majlis itu hanya dihadiri oleh anggota dan
pegawai polis Shah Alam dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah
itu sebagai orang kenamaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten
Komisioner Zahedi Ayob berkata, insiden itu telah mencetuskan
kontroversi apabila gambar memalukan itu tersebar di laman sosial
Facebook dan blog sehingga mendapat kritikan pelbagai pihak.
Katanya, siasatan mendapati, tarian
separuh bogel itu bukan sahaja langsung tidak termasuk dalam aturcara
majlis malah, ia tidak ditempah dan tidak diadakan ketika sesi raptai
serta latihan.
“Tarian itu dipersembahkan secara
tiba-tiba dan penari terbabit pula merupakan golongan lelaki yang
memakai pakaian dalam wanita. Ia berlaku secara mengejut dan spontan
tanpa izin penganjur.
“Kita sedang menyiasat mengapa dan
bagaimana ia boleh berlaku dan siapa yang bertanggungjawab. Penganjur
telah membuat aduan kepada pihak pengurusan hotel pada malam itu juga
dan saya sedang membuat pertanyaan sulit mengenainya,” katanya pada
sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, majlis tertutup itu diadakan
untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis pangkat rendah
daerah ini yang akan bertukar tempat bertugas.
Menurut Zahedi, Polis Diraja Malaysia
selama ini tidak pernah menganjurkan acara tidak bermoral seperti itu
yang nyata bertentangan dengan agama Islam dan budaya pasukan
keselamatan itu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, gambar
tersebut jelas memaparkan imej tiga individu memakai rambut panjang,
seluar dalam dan coli sedang menari dalam aksi ghairah
berlatarbelakangkan tulisan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi,
Segunung Intan Polis Shah Alam.
Gambar tersebut menerima kecaman
pelbagai pihak. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah
melalui akaun Facebook peribadinya melahirkan rasa terkejut melihat
gambar itu.
Tun Hisan menyatakan polis tidak
sesekali menyokong kemungkaran sebegitu dan akan menyiasat kejadian
berkenaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Kirim email ke