Free Malaysia Today , 4 Feb 2013 –  REMBAU: Selepas bekas Timbalan Presiden PAS,
Nasharuddin Mat Isa digugurkan daripada Majlis Syura dan pengumuman Menteri
Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Nasharuddin juga digugurkan
sebagai calon parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13); timbul
pula desas desus apakah beliau layak diturunkan di kerusi parlimen Rembau,
Negeri Sembilan.
 
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Nasharuddin sebenarnya
merupakan anak jati Rembau.
 
FMT cuba
mendapatkan pandangan suara akar umbi di Rembau berhubung cadangan ini.
 
Rozmal Malakan dari Rembau yang merupakan seorang aktivis
yang memperjuangkan sistem Adat Perpatih berpendapat Nasharuddin harus
bertanding di Rembau.
 
“Ini adalah kerana mengikut adat  di Rembau, nasab (keturunan) anak adalah
mengikut ibunya, dan ibunya adalah orang Rembau, tak silap saya dari suku Sri
Melenggang. Ini bermakna Nasharuddin adalah dari suku Sri Melenggang.
 
”Berbeza dengan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin
(Barisan Nasional);  hanya ayahnya sahaja
yang berasal dari Rembau. Oleh itu beliau tidak termasuk dalam mana-mana suku
di Rembau, melainkan beliau telah menjalani upacara adat iaitu berkedim.
 
“Amatlah sesuai sekali jika Nasharudin diberi peluang untuk
bertanding di parlimen Rembau atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota,
kerana kampung beliau ialah di Air Melintang di dalam DUN Kota.
 
“Semoga dengan kehadiran Nasharudin di Rembau akan
menyemarakkan lagi usaha mengimarahkan masjid-masjid yang semakin mati di
daerah ini,” kata Rozmal.
 
Apabila ditanya FMT apakah Nasharuddin harus bertanding atas
tiket PAS atau Umno? Rozmal berkata itu terpulang kepada Nasharuddin sendiri.
 
Orang Rembau tidak kenal Nasharuddin
 
Abdul Hadi Abuyan seorang penyokong PAS dari Rembau pula
tidak bersetuju jika PAS menawarkan Nasharuddin bertanding di parlimen Rembau
mahu pun di mana-mana kerusi di Negeri Sembilan, sama ada kerusi Parlimen atau
DUN.
 
“Beliau bukan
popular pun di peringkat akar umbi. Malah orang Negeri Sembilan dan Rembau
sendiri ramai yang tidak tahu yang Nasharuddin anak kelahiran Rembau, Negeri  
Sembilan sebenarnya.
 
“Saya rasa beliau
dapat peluang bertanding di Bachok dulu pun sebab status Timbalan Presiden
dulu. Parti bagi kerusi selamat agaknya.
 
“Bagi saya cuma
ada tiga individu sahaja yang mempunyai karisma dan mampu menang jika bertanding
selain dari kerusi asal masing-masing. Mereka itu ialah Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz  dan Ahli Parlimen 
Gua Musang, Tengku
Razaleigh Hamzah.
 
“Nasharuddin
langsung tidak menepati ciri-ciri kekuatan personalti yang ada pada Anwar, Nik
Aziz dan Tengku Razaleigh.
 
“Saya cadangkan elok
sahaja Nasharuddin menjadi Timbalan Pengerusi JATI,” ulas Abdul Hadi.
 
Nasharuddin bertanding tiket Umno di Rembau?
 
Azhar Mohamad dari Chembong pula mencadangkan Umno
menawarkan Nasharuddin bertanding di kerusi parlimen Rembau atas tiket Umno
jika parti itu benar-benar ingin membela nasib Nasharuddin yang kononnya
dizalimi oleh PAS.
 
“Jangan sekadar cakap sahaja bahawa PAS menzalimi
Nasharuddin lah, PAS sudah lari dari perjuangan asal lah, Nasharuddin pemimpin
berprinsip lah.
 
“Sejak 2008, saya memang perasan Umno mempertahankan
Nasharuddin habis-habisan terutama ketika bertanding jawatan timbalan presiden
pada tahun 2009 dan 2011. Sejak Nasharuddin digugurkan dari Majlis Syura,
sokongan pemimpin Umno kepada Nasharuddin semakin jelas dan kuat termasuk
daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
“Oleh itu jika benar Najib ikhlas dan merasakan satu aset
yang amat berharga kepada perjuangan Islam dan bangsa Melayu, mengapa Najih
tidak melamar sahaja Nasharuddin dan menurunkan Nasharuddin di Rembau?  tanya 
Azhar.
 
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/02/04/apakah-nasha-layak-bertanding-di-rembau/
 

Kirim email ke