26 Februari 2013 

SEREMBAN - Menggunakan khidmat bomoh
bagi mengubati sakit tertentu seperti gangguan makhluk halus,
dibolehkan. Namun, sekiranya untuk kepentingan politik, ia sama
seperti bertenung nasib dan hukumnya syirik.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof
Ahmad berkata, tidak salah sekiranya berjumpa bomoh untuk membantu
disebabkan terkena gangguan makhluk halus, namun perlu berlandaskan
syariat Islam.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya
khidmat bomoh digunakan untuk menang pilihan raya atau menyakiti
orang lain, perbuatan itu amat ditegah dalam Islam kerana syirik.

“Meminta bomoh memberikan kemenangan
dalam pilihan raya samalah seperti meramal nasib, kerana tiada
jaminan perkara itu akan benar-benar berlaku.

“Seeloknya setiap calon yang
bertanding bergantung pada diri sendiri dan berserah sepenuhnya
kepada ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Yusof berkata, masa depan setiap
individu bergantung pada perbuatannya masa lalu.

“Seandainya calon sudah berusaha
bersungguh-sungguh untuk kebaikan rakyat, maka memadailah dengan
berdoa kepada ALLAH untuk beroleh kejayaan.

“Paling penting, hadapkan diri pada
ALLAH dan tinggalkan segala larangannya dengan mematuhi ajaran
Islam,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/politik/politik-bomoh-sama-hukum-dengan-ramal-nasib-1.134711

Kirim email ke