KENYATAAN AKHBAR
PEJABAT PILIHANRAYA PAS DUN N28 KOTA
(PARLIMEN P131-REMBAU)
18 Mac 2013 
 
Penubuhan Yayasan Kepimpinan Pejuang Rembau
serta Pemikiran Dato Abdullah bin Hj Dahan – Undang Rembau ke 18
 
Rembau telah melahirkan begitu ramai
pejuang sejak kurun ke 16 lagi. Salah seorang pejuang yang begitu menyerlah
dengan pemikiran yang moden, kreatif dan dinamik di tanah beradat ini ialah
Undang Rembau yang ke 18 iaitu Dato Abdullah bin Hj Dahan yang telah dilantik 
sebagai
Undang Rembau pada usia semuda 17 tahun. 
 
Namun usia tidak menghalang Dato Abdullah
bin Hj Dahan untuk melakukan perubahan, transformasi, reformasi terhadap
pemikiran orang Melayu pada ketika itu yang masih lagi praktikal hingga ke hari
ini. 
 
Semangat juang anak muda dari Kg Tanjong,
Kota yang ditunjukkan oleh Dato Abdullah bin Hj Dahan ini haruslah dicontohi
oleh generasi muda sekarang demi kelangsungan perjuangan generasi kini.
 
Sehubungan dengan itu PAS DUN Kota menyarankan
agar diwujudkan yayasan, galeri, pemikiran serta apa-apa yang berkaitan dengan
para pejuang dari Rembau bukan sahaja untuk mengenang jasa mereka yang
terdahulu tetapi sebagai sumber rujukan dan panduan generasi kini.
 
HJ GHAZALI BIN MOHD SHOM
Penyelaras PAS DUN Kota
http://rembau-hari-ini.blogspot.com 
 
*****   
 
DATO ABDULLAH BIN HJ DAHAN -  UNDANG REMBAU KE 18
 
Dato Abdullah bin Hj Dahan telah dilantik
sebagai Undang Rembau ke 18 dari 1922 hinga 1938. Beliau belajar di Kolej
Melayu Kuala Kangsar. Pada tahun 1922 Dato Abdullah telah dilantik sebagai
Undang Rembau menggantikan Dato Haji Sulong bin Ambia. Beliau adalah orang yang
berani, lantang dalam tahun 1920an dan 1930an, ketika tiada siapa yang berani
bersuara terhadap orang Inggeris.
 
Penulisan British ada menyatakan beliau
dilantik sebagai Undang Rembau pada usia 17 tahun dengan kebolehan yang luar
biasa, bercita-cita tinggi, pintar dan mempunyai kesungguhan tinggi.
 
Perjuangan Dato Abdullah adalah melalui
memorandum, petisyen rasmi dan dalam majlis persidangan. Beliau adalah orang
yang paling kuat melobi untuk ditubuhkan beberapa sekolah perdagangan dan
institusi berbahasa Inggeris supaya lebih ramai anak Melayu dapat menjadi
pentadbir yang baik serta menjawat jawatan professional.
 
Perubahan yang dilakukan oleh Dato Abdullah
bukan sahaja di bidang pendidikan. Bahkan beliau banyak membantu menubuhkan
beberapa koperasi dan persatuan di Negeri Sembilan untuk membangunkan
masyarakat Melayu ketika itu. Beliau juga sentiasa menasihatkan orang-orang
kampung agar meninggalkan amalan khurafat dan syirik yang dikaitkan dengan
roh-roh setempat.
 
Dato Abdullah juga adalah antara orang yang
menyuarakan penubuhan pasukan Askar Melayu. Usaha ini bermula semenjak tahun
1902 lagi. Pada tahun 1933 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan - Tunku Muhamad
ibni Yam Tunku Antah, Sultan Perak - Sultan Alang Iskandar Shah, Raja Di Hilir
Perak - Raja Sir Chulan dan Undang Rembau - Dato Abdullah bin Haji Dahan telah
menyuarakan hasrat menubuhkan pasukan Askar Melayu.
 
Apabila Zaman Kemelesetan berlaku pada
tahun 1929, pihak British memberhentikan ramai pekerja, Dato Abdullah memberi
amaran kepada British, jangan sentuh pekerja Melayu. Dari cadangan tersebut
pendatang asing harus dibuang kerja terlebih dahulu.
 
Berikut adalah beberapa jasa-jasa dan keperibadian Dato Abdullah bin Hj
Dahan, Undang Rembau yang ke 18 :
 
1. Mencadangkan mewujudkan Tanah Simpanan
Melayu untuk melindungi tanah orang Melayu yang telah banyak jatuh ke tangan
bangsa asing.
 
2. Dalam tahun 1927, merayu agar kerajaan
menambah jumlah Tanah Simpanan Melayu hingga boleh menguruskan perjalanan
estes-estet yang lebih luas (konsep tanah rancangan FELDA).
 
3. Menyarankan kerajaan perlu memberi
bantuan dari segala segi kepada orang Melayu memandangkan kemunduran ekonomi
pertanian orang-orang Melayu. Salah satu dari bantuan yang diberi harus berupa
pembinaan taliair yang sesuai.
 
4. Syarikat kerjasama harus didirikan untuk
menghindar kemasukan peminjam-peminjam wang yang dianggap membahayakan ekonomi
orang-orang Melayu di kampung.
 
5. Pada tahun 1932 beliau menulis panjang
lebar mengenai Syarikat Kerjasama, Tujuan dan Kewajipan Syarikat, Cara
Mentadbir dan membangunkannya serta Harta-harta Syarikat dan Hak-hak Ahli.
 
6. Menyarankan agar kehadiran kanak-kanak
perempuan ke sekolah diwajibkan, sebuah sekolah perempuan Melayu dibina di Kg
Tanjung pada tahun 1923. Kemudioan Sekolah Perempuan Kg Chembong ditubuhkan
pada tahun 1933.
 
7. Sekolah pertukangan (trade school) didirikan
berhampiran pekan Rembau pada tahun 1933 atas inisiatif beliau.
 
8. Mendesak mutu pelajaran Inggeris di
sekolah seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah King George V harus
ditingkatkan
 
9. Mahukan agar murid-murid Melayu di
Sekolah King George V Seremban diberi peluang memasuki kelas Junior Cambridge
dan seterusnya mengambil peperiksaan Junior Cambridge.
 
10. Menyuarakan ketidakseimbangan antara
bilangan anak-anak atau saudara mara pembesar, raja dan waris negeri yang
diberi peluang belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar
 
11. Mencadangkan agar seorang guru Melayu
fasih berbahasa Melayu dan Inggeris mengajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar
supaya murid-murid di Kolej itu dapat pengajaran bahasa Melayu yang bermutu
tinggi.
 
12. Mendesak lebih ramai pegawai Melayu
dimasukkan ke semua Jabatan Kerajaan seperti Perbendaharaan, Perdagangan,
Kastam dan Jabatan Kehutanan.
 
13. Mencari peruntukan membina masjid Kg
Chembong 1928
 
14. Pada tahun 1920 beliau menubuhkan
tabung untuk perbelanjaan melanjutkan pelajaran untuk anak Rembau ke institut
pengajian tinggi yang dikenalil sebagai Waris Fund.
 
15. Menyuarakan supaya Adat Perpatih
dibukukan dan demi kepentingan rakyat Rembau pemilihan Dato Lembaga itu
hendaklah dari kalangan yang terbaik, berilmu dan bertanggungjawab.
 
16. Cuba merubah kedudukan Dato-Dato
Lembaga dengan menjadikan mereka yang berpendidikan dan berperibadi tinggi ,
penghulu mukim.
 
17. Mendapat persetujuan Dato-Dato Lembaga
agar harta carian dibahagi mengikut Islam.
 
18. Semasa menasihati Dato-Dato Lembaga,
bercadang menghapuskan sistem suku di Rembau seandainya Dato-Dato yang korup
itu tidak mahu mengubah pendirian.
 
19. Menasihat Dato-Dato Lembaga supaya
merubah sikap mementingkan diri serta rasuah. Kalau tidak juga mahu berubah,
beliau mencadangkan Dato-Dato Lembaga itu meletakkan jawatan sahaja.
 
20. Beliau adakalanya berjalan kaki ke
balai Undang dari rumah beliau di Chembong sejauh 2 km, beliau sampai awal pagi
ke pejabat sebelum pekerja lain sampai.
 
21. Beliau suka melihat susunan pejabat
yang kemas, rapi dan teratur.
 Sumber
rujukan : 
http://malaycivilization.ukm.my/idc/groups/portal_aperpatih/documents/ukmpd/adat_03781.pdf

Kirim email ke